Mahkamah Tinggi Malaya telah mengeluarkan perintah penggulungan atau arahan untuk menutup rangkaian restoran terkenal di Malaysia, PappaRich.
Terdahulu pada bulan Julai 2020, restoran PappaRich di Malaysia berdepan dengan saman untuk ditutup operasi selepas memiliki hutang tidak berbayar sebanyak RM37.22 juta.
Dalam satu dokumen pengumuman, ST Group Food (rakan kongsi PapaRich) menerusi lembaga pengarahnya menjelaskan bahawa petisyen penggulungan itu tidak dijangka akan memberi impak terhadap perniagaan dan operasi PappaRich Malaysia.
Turut dinyatakan dalam dokumen itu adalah syarikat akan mendapatkan perincian berkaitan situasi tersebut.
Selain itu, turut ditekankan adalah ‘peringatan’ kepada pemegang saham dan pelabur berpotensi agar berhati-hati ketika berurusan dengan penasihat profesional jika mereka ragu-ragu dengan tindakan yang harus diambil.
Petisyen berkenaan telah difailkan oleh Agathisfour Sdn Bhd pada 22 Mei terhadap PGSB atas jumlah yang perlu dibayar oleh kumpulan itu dan anak syarikatnya serta syarikat yang berkaitan PappaRich Malaysia dan Roti-Roti International Sdn Bhd (RRI).
Kes itu akan didengar pada 3 November ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Turut dijadualkan untuk didengar adalah satu petisyen lain pada 21 September kelak.
Petisyen yang dimaksudkan itu diajukan oleh Chen Khai Voon selaku pengasas KVC Industrial Supplies Sdn Bhd yang memiliki saham di dalam PappaRich Malaysia dan Agathisfour.
Difahamkan pada Mei 2014, PGSB dan Agathisfour telah menandatangani perjanjian untuk Agathisfour memperoleh 4.47 juta saham dalam PappaRich Malaysia berjumlah RM24 juta.
Manakala Agathisfour juga turut memperoleh 325.303 saham baru dalam syarikat terbabit dengan harga RM6 juta.
Menerusi perjanjian itu, PGSB diwajibkan untuk menyelesaikan jumlah penuh hutang (bukan perdagangan) kepada PappaRich Malaysia dalam tempoh 36 bulan dari tarikh perjanjian serta jumlah yang harus dibayar kepada RRI pada Oktober 2015.
Penyelesaian hutang tersebut kemudian dilanjutkan ke Mei 2017 namun PGSB gagal menyelesaikan hutang, menyebabkan baki hutang mencecah RM37.22 juta.