Kerap kali juga kita dengar akan kecuaian pihak hospital – sama ada doktor mahupun jururawat, dalam mengendalikan pembedahan.
Ini berikutan segelintir daripada mereka terlupa untuk mengeluarkan peralatan daripada bahagian tubuh yang dibedah, seperti apa yang berlaku pada wanita dari Ankara, Turki ini.
Ibu kepada tujuh cahaya mata ini pada mulanya berasa sakit di tempat pembedahannya dan kesangsiannya itu akhirnya terjawab.

Difahamkan bahawa terdapat gunting tertinggal di dalam perut Nurcihan Ogmen, 61 tahun yang dibedah pada 5 Mac lalu.
Apabila Nurcihan mengadu sakit yang dialaminya itu pada pihak hospital, dia dimaklumkan bahawa sakit itu adalah normal selepas pembedahan dilakukan.
“Doktor hanya meminta saya bersabar dan tidak berminat untuk mendengar masalah yang saya hadapi”, ujarnya.

Menurut akhbar tempatan AHaber, lebihan kulit perut Nurcihan dibuang doktor ketika pembedahan dan dia kemudian dibenar pulang keesokan harinya.
Namun, dia kembali semula ke hospital swasta di Kusadasi tersebut apabila mendapati terdapat bengkak dan berasa sakit pada perutnya.
“Perut saya begitu sakit selepas pembedahan namun doktor tidak mempercayai apa yang saya katakan”.

Doktor walau bagaimanapun berkata ia adalah sesuatu yang normal. Selepas dua bulan, perutnya masih lagi berasa sakit dan dia telah ke Hospital Negeri Soke untuk jalani pemeriksaan.
Mengejutkan apabila laporan imbasan sinar-X menunjukkan bahawa terdapat gunting pada bahagian kiri abdomennya.
Nurcihan kemudian berjumpa semula dengan doktor di hospital swasta dan memintanya untuk melakukan pembedahan bagi mengeluarkan gunting itu.
Dalam masa dua jam, pembedahan bagi mengeluarkan gunting itu berjaya.