Siapa tak kenal dengan Siri, pembantu teknologi pintar yang dibangunkan pada setiap peranti Apple. Siri berfungsi dalam mengingatkan anda tentang tarikh-tarikh penting, mentafsir sesuatu perkataan, mencari gambar, membantu dalam navigasi, muzik dan lain-lain.
Dalam erti kata lain, Siri mampu memenuhi setiap keperluan penggunanya. Namun begitu, terdapat seorang wanita di Amerika Syarikat yang dikatakan terganggu dengan kewujudan Siri. Jelas wanita ini, sebelum Siri wujud, hidupnya aman damai dan tiada siapa yang mengganggunya. Akan tetapi, pada tahun 2011, dia mula terkesan.
Hal ini demikian kerana nama wanita ini iaitu Siri Hafso sama dengan Siri pada aplikasi iOs. Jelas Hafso, sebelum ini dia merasakan bahawa dia memiliki nama yang bukan sahaja unik tetapi sedap didengar. Setiap kali orang lain berusaha untuk belajar cara menyebut namanya, Hafso tidak merasa jelik sebaliknya berbangga kerana mempunyai nama yang unik.
Namun, selepas Siri milik syarikat Apple membuat kemunculan, nama Hafso seringkali menjadi bahan ejekan dan gurau senda orang sekeliling. Hafso merasakan bahawa Apple telah mencetuskan permasalahan kepada hidupnya. Oleh demikian, dia bertindak untuk menulis surat kepada CEO Apple iaitu Tim Cook bagi membuat tuntutan pampasan dan ganti rugi di atas penderitaannya selama ini.
Hafso mengharapkan bahawa Apple dapat memberikannya sebuah komputer riba sebagai hadiah hari jadinya yang ke-30 secara percuma!
“Saya menulis emel kepada CEO Apple meminta komputer kerana saya berpendapat bahawa mereka perlu berterima kasih kepada saya selepas menghadapi lawak Siri selama bertahun-tahun”.
Akan tetapi, sejak memuat naik luahan hatinya itu di Twitter pada 22 Mei, Hafso masih lagi belum menerima sebarang respon daripada Apple. Agak-agaknya dia akan dapat ke apa yang dia hajatkan itu? Sama-sama kita nantikan…