WASHINGTON – Pelakon filem yang terkenal memegang watak sebagai Tarzan iaitu Joe Lara dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas pesawat bersama isteri dan lima penumpang lain.

Dalam kejadian yang berlaku pada hari Sabtu itu, pesawat model Cessna C501 yang dinaiki oleh tujuh penumpang telah terhempas ke dalam sebuah tasik yang terletak berdekatan Nashville sekitar jam 11 pagi waktu tempatan.
Pesawat kecil berkenaan dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke Palm Beach, Florida dan terhempas sebaik sahaja berlepas dari Smyrna, sebuah lapangan terbang di Tennessee. Pesawat berkenaan menjunam ke Tasik Percy Priest yang terletak sekitar 19 kilometer di selatan Nashville.

Menurut komander operasi nahas Rutherford County Fire and Rescue (RCFR) iaitu Kapten Joshua Sanders, pihaknya mula menjalankan operasi kerja-kerja pencarian sejak Sabtu malam.
“Kami tidak lagi berupaya untuk mencari mangsa hidup ketika ini, tumpuan kami sekarang adalah kerja pencarian di lokasi kemalangan”.
Pada petang Ahad, RCFR dalam kenyataannya mengesahkan penemuan beberapa komponen badan pesawat dan mangsa ketujuh-tujuh mangsa. Antara mangsa yang terkorban adalah Joe Lara, 58 tahun dan isterinya, Gwen Lara, 66 tahun.

Punca nahas masih dalam proses siasatan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Amerika Syarikat (NTSB).