Pelanggan sebuah kedai tayar dan rim yang terletak di Taman Sri Pulai Perdana, Johor bertindak melarikan diri menaiki keretanya setelah satu set tayar dan rim baru dipasangkan.
Individu terbabit dikatakan memberi alasan untuk pandu uji tayar dan rim baharu itu pada keretanya sebelum membayar, seterusnya terus melarikan diri.
Menurut laporan, insiden berkenaan berlaku kira-kira jam 4:30 petang pada 10 Mei lalu, di mana pemilik kedai memberitahu bahawa ini pertama kali dia berhadapan dengan situasi ini.
Pada hari kejadian, dia difahamkan tidak berada di kedai dan hanya membiarkan salah seorang pekerjanya untuk melayani permintaan pelanggan.
“Lelaki itu memakai pelitup muka dan berumur lingkungan 25 hingga 30 tahun, dipercayai dari Sarawak berdasarkan loghatnya”, kata pemilik kedai yang berusia 37 tahun.
“Dia memandu kereta jenis Perodua Axia dengan nombor pendaftaran QAB2253A”, jelasnya lagi.
Menurut pemilik itu, kebiasannya mereka tidak membernarkan situasi ini berlaku dan meminta pembayaran dibuat terlebih dahulu.
Namun si pelaku bertindak licik dengan meninggalkan beg berisi telefon bimbitnya di kedai sebagai jaminan bahawa dia akan pulang selepas memandu uji.
Pekerja kedai kemudian mempercayainya dan membiarkan lelaki itu menjalankan pandu uji namun selepas itu, si pelaku langsung tidak kunjung tiba.
Berikutan dengan itu, pekerja berkenaan bertindak membuka beg yang ditinggalkan dan mendapati hanya terdapat plastik di dalamnya!
Pemilik kedai walau bagaimanapun telah melaporkan kes ini kepada pihak polis dan mendedahkan bahawa nilai kerugian adalah berjumlah RM1,800.
Dia turut meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kereta itu untuk menghubungi talian 018-9794847.