Gempar apabila sebuah bangunan pencakar langit di pusat bandar Shenzhen, China mula bergoyang atas sebab-sebab yang masih belum diketahui pada 18 Mei lalu.
Menurut Biro Pengurusan Kecemasan Shenzhen, pihaknya ada menerima laporan bahawa SEG Plaza yang berusia 20 tahun itu bergoyang dan ia masih lagi dalam siasatan.

Tambah biro itu lagi, tiada sebarang gempa bumi direkodkan di kota itu tatkala ‘gegaran’ itu berlaku sekitar jam 1:50 tengah hari.
Laporan cuaca tempatan juga menunjukkan bahawa kelajuan angin di Shenzhen adalah sekitar 27 kilometer per jam, iaitu kelajuan yang tidak mungkin menyebabkan gegaran.

SEG Plaza adalah bangunan tertinggi kelima di China dan berada di tengah-tengah Huaqiangbei, lokasi perkakasan dan elektronik terbesar di dunia.
Saat-saat mencemaskan itu berjaya dirakamkan menerusi video di bawah :
新聞看點/Facebook
Kelihatan sejumlah orang ramai dilihat bergegas keluar dan melarikan diri daripada bangunan itu. Walau bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan.
“Saya tak rasa bergegar namun disuruh untuk segera keluar daripada bangunan itu bersama orang lain”, kata salah seorang pekerja di bangunan tersebut.

Kejadian ini agak membingungkan kerana menurut pakar, kejadian bangunan bergegar tanpa disedari oleh orang adalah jarang berlaku.
Dalam pada itu, pihak berkuasa bertindak menutup SEG Plaza sehingga ke suatu tarikh yang masih belum dipastikan.