Rakyat Malaysia sekali lagi terpaksa akur apabila tidak dibenarkan untuk merentas negeri untuk berhari raya setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan seluruh negara.
Pastinya keputusan itu sangat mendukacitakan kita semua kerana tidak dapat menziarahi ibu bapa di kampung.
Baru-baru ini, satu video tular di TikTok mendapat perhatian warga maya apabila ianya sangat menyentuh hati.
Video tersebut menunjukkan seorang ibu berjalan untuk bertemu dengan anaknya di sempadan daerah.
Si ibu turut dilihat menyerahkan bakul makanan dan kuih raya untuk bekalan anaknya, yang tidak dapat beraya bersama.
“Maaf mak, kita tak dapat beraya bersama tahun ini. Semoga mak diberi kesihatan yang baik-baik. Semoga kami anak beranak dapat berkumpul kembali”.
Tambah pengguna yang berkongsi video terbabit, @azyraazizy, dia kenal benar raut wajah ibunya. “Kami faham mak sedih”.
Kongsi pengguna itu, ibunya tinggal bersendirian di rumah dan itu amat menyedihkan buatnya.
Sungguhpun begitu, si ibu masih lagi mampu tersenyum tatkala dapat melihat anaknya walaupun hanya seketika.
Semoga kita semua tabah dalam menghadapi dugaan ini. Apa yang penting, patuhi SOP setiap masa.
Bersama-sama, kita dapat memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19.