Penjarakan sosial yang ditekankan oleh kerajaan merupakan satu langkah berjaga-jaga untuk memastikan jangkitan wabak tidak menular.
Meskipun begitu, norma baharu ini tidak menghalang manusia untuk tetap berhubung dan berkomunikasi di antara satu sama lain.
Buktinya dapat dilihat menerusi video YouTube terbaharu daripada Dingo. Untuk pengetahuan, Dingo merupakan media di Korea Selatan yang sering menjalankan eksperimen sosial terhadap orang awam.
Salah satu daripada eksperimen yang dijalankan adalah untuk melihat reaksi orang ramai apabila mendengar perkhabaran gembira daripada seseorang yang tidak dikenali.
Menerusi video berkenaan, seorang pelakon lelaki yang berpakaian pejabat dilihat sedang duduk di stesen bas seperti orang awam yang lain. Sewaktu menunggu ketibaan bas, lelaki ini menerima ‘panggilan telefon’ daripada isterinya dan pasangan ini berbual tentang rutin pekerjaan si suami.
Pada awal perbualan, pelakon lelaki ini menyatakan kepada isterinya bahawa dia baru selesai mesyuarat dan sedang dalam perjalanan untuk kembali ke pejabat. Lelaki ini juga sempat merungut kepada isterinya tentang betapa pekerjaannya itu memberikan bebanan kepada dirinya.
Tidak lama kemudian, lelaki ini menerima perkhabaran bahawa isteri palsunya itu sedang berbadan dua dan hal ini membuatkan pelakon lelaki berkenaan tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya di tempat awam.
“Apa? Awak betul-betul mengandung?”.
Teruja mendengar berita gembira itu, lelaki ini bertindak berkongsi berita berkenaan kepada individu tidak dikenali yang berada di sebelahnya. Reaksi individu yang terlibat dalam eksperimen sosial ini juga cukup menakjubkan!
Ramai yang segera mengucapkan tahniah kepada lelaki ini kerana bakal bergelar seorang bapa dan ada juga yang meminta lelaki ini menghubungi kedua ibu bapanya untuk menyampaikan khabar gembira itu.
Dalam satu adegan bersama seorang lelaki warga emas, pelakon lelaki ini berkongsi tentang penantian dia dan isterinya untuk mendapatkan zuriat selama lima tahun akhirnya dimakbulkan dan ini respon yang diberikan oleh datuk itu.
“Tahniah! Saya dapat anak setelah 10 tahun menunggu. Awak jangan pulang ke rumah seperti ini. Pergi beli bunga dan hadiahkan kepada isteri awak”.
Sementara itu, pelakon lelaki ini turut meminta tips keibubapaan daripada seorang wanita. Katanya, “Layan isteri awak seikhlas hati. Jika awak tidak melayannya dengan baik, awak akan menyesal di kemudian hari. Pergi beli buku keibubapaan dan pulang ke rumah. Peluk isteri awak apabila sudah sampai ke rumah”.
Antara reaksi lain yang sempat dirakamkan adalah:
“Apabila pulang ke rumah nanti, dukung isteri awak. Masa suami saya dapat tahu saya mengandung, dia dukung saya”.
“Beli makanan kegemarannya. Itu yang terbaik”.
“Jaga anak baik-baik macam awak jaga pokok”.
Video eksperimen sosial berdurasi 1 minit 51 saat ini berjaya menarik perhatian warganet dan membuatkan ramai terinspirasi serta terharu melihat kebaikan hati rakyat Korea Selatan.