Pengacara Korea terkenal, Ji Suk Jin baru-baru ini telah mengenangkan masa lalu bersama sahabatnya, Yoo Jae Suk di “You Quiz on the Block”!
Rancangan yang disiarkan di saluran tvN itu juga istimewa bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 Jae Suk dalam industri hiburan.
Ketika masih belum popular, Suk Jin berkongsi, “Ketika kami tiada kerja, kami akan keluar dan berjumpa dengan rakan kami yang lain”.
“Dengan Jae Suk, kami boleh duduk bersama dan tidak melakukan apa-apa tanpa berasa bosan”.
Suk Jin menambah, “Saya minta wang sebanyak 10,000 won daripada ibu saya semata-mata untuk melepak bersama rakan termasuklah Jae Suk”.
“Dia sangat lucu. Kami tidak tahu mengapa dia begitu lucu setiap masa penggambaran berlangsung”, ujarnya lagi.
Tambahnya, Jae Suk banyak meluah dan berkongsi kebimbangan padanya, memandangkan mereka sudah berkawan sejak tahun 1991 lagi.
Foto hiasan/Soompi
Dia kemudian turut menyentuh mengenai program ‘Running Man’. Suk Jin mendedahkan bahawa dia cuba meninggalkan program itu pada mulanya kerana rasa tidak serasi.
Namun Jae Suk banyak membantunya. Dia turut berterima kasih pada Jae Suk kerana telah mencipta watak ‘hidung besar’ buatnya dalam program itu.
“Saya rasa Jae Suk sepatutnya dapat raih lebih banyak wang. Dalam industri sukan, atlet terkemuka mendapat bayaran yang tinggi”.
“Oleh kerana Jae Suk kini sudah menjadi figura yang terkemuka dalam industri, maka dia patut mendapat bayaran yang tinggi”, kata Suk Jin.
Malah tambahnya, Jae Suk juga terlalu memikirkan programnya. “Saya harap dia dapat kurangkan tabiat itu, sebaliknya pergilah bersenam dan tumpukan pada kesihatan”.
Ini kerana program Running Man sememangnya memerlukan kekuatan dan kecergasan fizikal untuk mengungguli pelbagai cabaran.
“Tahap kesihatan kita tidak akan selamanya berada dalam keadaan yang baik”, kata Suk Jin. Membayangkan mengenai persaraannya, Suk Jin berubah menjadi emosi hingga mengalirkan air mata.
Suk Jin tidak dapat menyembunyikan rasa sedihnya. Dia juga sempat berkata bahawa dia dan Jae Suk masih akan tetap bersama walaupun setelah bersara.