Pandelela Rinong telah melakar sejarah apabila berjaya merangkul pingat emas pertama buat Malaysia di kejohanan terjun Piala Dunia FINA 2021 di Jepun.
Beliau mempamerkan terjunan bertenaga bagi mengungguli acara 10m platform individu yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo dengan mengumpul 355.70 mata selepas melengkapkan tujuh terjunan.
Sementara penerjun tuan rumah, Matsuri Arai mengumpul 342.00 mata bagi meraih pingat perak manakala Caeli Mckay dari Kanada meraih gangsa dengan 338.55 mata.
Kejayaan berkenaan menjadikan gadis berusia 28 tahun itu sebagai satu-satunya atlet yang menyumbang pingat untuk pasukan terjun negara di kejohanan Piala Dunia kali ini.
Di saingan separuh akhir, Pandelela hanya menduduki tempat ketiga dengan 333.00 mata, di belakang Andrea Spendolini Siriex yang memiliki 336.00 dan Mckay di tempat pertama yang meraih 434.85 mata.
Dalam pada itu, nasib tidak menyebelahi buat bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong apabila beliau menamatkan saingan di tempat tercorot dengan 237.35 mata.
Ia berbeza dengan prestasi beliau di hari sebeumnya, di mana beliau mempamerkan aksi cemerlang dengan mengungguli peringkat kelayakan dengan 345.30 mata.
Sungguhpun begitu, Jun Hoong masih boleh mengukir senyuman kerana turut layak untuk bersaing di Sukan Olimpik Tokyo bermula 23 Julai ini.
Selain Pandelela dan Jun Hoong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee juga bakal menggalas cabaran untuk acara terjun di temasya berkenaan.