Walaupun sudah bertahun berlalu tetapi kisah antara seekor harimau bintang dan lembu ini masih tetap menjadi perhatian ramai.
Di sebalik kisah yang unik itu terdapat beberapa versi yang sering didengari. Dan rupa-rupanya kisah antara kedua-dua haiwan ini sebenarnya sangat menyentuh hati.
Semuanya bermula apabila sebuah keluarga sering mendengar anjing peliharaan mereka menyalak di tengah malam. Jadi mereka memutuskan untuk meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) untuk melihat apa yang sering terjadi.
Rupa-rupanya terdapat seekor harimau bintang sering datang ‘menziarahi’ lembu peliharaan mereka di Kampung Antoli, Gujarat, India. Apa yang mengejutkan harimau bintang tersebut tidak langsung mencederakan lembu itu malah mereka seolah-olah boleh berkawan baik.
Harimau bintang tersebut dikatakan telah mengunjungi lembu secara berterusan dari 8 hingga 22 Oktober 2002, pada setiap malam, biasanya antara jam 9.30 malam dan 11.00 malam.
Haiwan itu kemudian sekali lagi muncul dari 4 hingga 29 November tahun yang sama.
Tidak hanya itu, harimau bintang itu terus datang berjumpa ‘kawannya’ sehingga minggu pertama bulan Mac, dan kemudian tidak pernah kembali lagi.
Terdapat banyak tafsiran dan cerita yang berbeza-beza tentang apa yang berlaku antara kedua-dua haiwan ini.
Antara cerita yang palng terkenal dalam kalangan orang ramai ialah lembu dan harimau bintang tersebut boleh berkawan baik kerana lembu itu pernah membantu si harimau ketika dia masih kecil.
Ibu harimau bintang dikatakan telah mati dan ketika itu anak kecilnya baru berusia 22 hari. Jadi, lembu itu lah yang telah menyusukan harimau bintang yang masih kecil itu. Sejak itu, harimau bintang menganggap lembu itu adalah ibunya.
Tidak ada yang dapat memberitahu dengan jelas apa sebenarnya yang berlaku antara mereka, tapi sangat nyata bahawa tingkah laku lembu dan harimau bintang itu adalah sesuatu yang aneh dan hubungan mereka cukup luar biasa!