Setiap orang mempunyai cerita dan sejarah yang tersendiri. Ada kisah yang menyenangkan serta menggembirakan tetapi ada juga kisah yang menyedihkan.
Namun, sesedih manapun sejarah hidup yang pernah dialami, kehidupan tetap perlu diteruskan.
Kisah inspirasi kali ini berkisahkan tentang seorang bayi yang dipungut suatu ketika dahulu dan hari ini dia mengukir kejayaannya tersendiri.
Remaja lelaki yang kini berusia 18 tahun, Zhu Junlong dikatakan telah dipungut oleh seorang nenek tua selepas dia ditinggalkan oleh ibu kandungnya di dalam semak di Shanghai.
Suatu ketika dahulu, setelah nenek Zhu menemui bayi tersebut dia terus membawanya ke hospital. Di sana doktor mengesahkan bahawa bayi itu adalah kacukan orang Cina dan orang asing. Nenek Zhu kemudian memutuskan untuk menjaga bayi itu walaupun dia hidup dalam keadaan susah.
Ketika itu, nenek Zhu mempunyai dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Walau bagaimanapun, suami dan keluarganya yang lain tetap menyokong keputusannya untuk menjaga bayi tersebut.
Namun, masalah timbul apabila Zhu mahu dimasukkan ke sekolah. Dia pernah ditolak kerana dia tidak mempunyai surat beranak yang sah. Selepas berkali-kali mencuba dan pergi ke jabatan yang berkaitan, Zhu akhirnya diterima masuk ke sekolah. Dia bahkan mendapatkan pendidikan secara percuma, dan menerima beberapa ratus yuan subsidi setiap tahun.
Setelah 14 tahun isu pendaftaran surat lahir Zhu Junlong di Shanghai telah selesai dan pemerintah tempatan mengetahui tentang adopsi tersebut, mereka telah ditempatkan di sebuah rumah seluas 50 meter persegi untuk nenek Zhu dan keluarganya.
Berita mengenai remaja berkulit hitam ini mula menjadi perhatian umum tidak lama selepas itu. Semasa wawancara wartawan, Zhu Junlong dengan bersemangat mengatakan bahawa, “Saya suka menonton “X-Men”, “Transformers”, dan anime Jepun.” Dia juga bercerita mengenai buku-buku yang telah dibacanya, seperti “The Giants”, “Count of Monte Cristo”.
Perkara yang paling menggembirakan ialah setelah Zhu Junlong diadopsi mereka sekeluarga menerima berita gembira bahawa menantu perempuan mereka telah hamil.
Kini, selepas 18 tahun nenek tua bernama Zhu sudah boleh menarik nafas lega apabila cucu angkatnya kini bersedia untuk masuk ke alam universiti.
Remaja itu juga berjanji yang suatu hari nanti apabila dia sudah berjaya dia akan membeli vila buat neneknya. Dia juga akan bekerja kuat demi neneknya. Kelak, apabila pulang dari kerja dia mahu memasak untuk neneknya dan dia juga mahu membawa neneknya keluar membeli-belah.
Mendengar janji-janji itu buatnya hati nenek Zhu sangat tersentuh sehingga dia menangis. Dia berharap agar cucunya memiliki masa depan yang lebih baik.