Seorang wanita dari India, Shruti Saha telah menghabiskan masa berjam-jam di New Delhi demi mencari dan mengisi semula tabung oksigen untuk ibunya ketika dia diberitahu usahanya hanya sia-sia kerana ibunya telah meninggal dunia akibat COVID-19.
Gelombang kedua COVID-19 di New Delhi menyaksikan hospital dibanjiri pesakit dan kekurangan bekalan oksigen menyebabkankan ramai yang mula berputus asa dalam usaha membantu ahli keluarga yang sakit di rumah.
Ketika Shruti menunggu di luar sebuah kilang pengisian semula oksigen di kawasan perindustrian di ibu negara itu, wanita ini yang panik telah berlutut dan meminta kilang itu dibuka, tetapi polis dan pengawal keselamatan menyuruhnya menunggu.
Tidak lama kemudian, Shruti menerima panggilan dari rumah yang memaklumkan bahawa ibunya telah meninggal dunia.
Tangisannya mula kedengaran ketika dia hampir terduduk, dengan orang ramai cuba menenangkannya.
Silinder oksigen kosongnya ditinggalkan di tempat dia berdiri dalam barisan.
“Kami keluar dari rumah sejak jam 2 pagi. Tidak ada bekalan oksigen di Delhi.
“Akhirnya kami sampai di sini. Berkali-kali saya beritahu mereka keadaan ibu saya tenat …” katanya dalam keadaan teresak-esak.
Delhi melaporkan kematian akibat COVID-19 setiap empat minit sejak kebelakangan ini.
Hospital tidak lagi mempunyai ruang, menyebabkan pesakit COVID-19 hanya berada di rumah dan cuba dirawat sendiri oleh ahli keluarga masing-masing.
“Selama dua hari kami berusaha mendapatkan katil di beberapa hospital terdekat. Bawa saya pulang sekarang,” kata Shruti Saha, sebelum dia dibawa pergi oleh seorang lelaki.