Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai tahun 2021, sementara Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin semasa sesi sidang media khas. Selain itu, tiada sebarang peperiksaan ganti untuk ujian murid Tahun 6 itu, katanya.
Ujar beliau, penilaian untuk pelajar Tahun 6 akan dilakukan sama seperti tahun 2020.
“Kita telah libat urus bersama guru besar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta persatuan berkaitan. Sesi libat urus ini melibatkan lebih 1,700 peserta”.
“Pagi tadi saya telah membentang kertas Memorandum Jemaah Menteri berkaitan UPSR dan di sini kita umumkan satu keputusan mulai 2021 UPSR dimansuhkan sepenuhnya”.
Manakala bagi pelajar yang berhasrat untuk memasuki sekolah berasrama penuh dan sebagainya, mereka akan dinilai menerusi Pentaksiran Berasaskan Sekolah dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah Khusus (PKSK).
“UPSR sebagai satu komponen untuk ke SBP. Namun begitu apabila kita melaksanakan PKSK bagi membolehkan murid masuk ke SBP, kita lihat hanya 1/4 jumlah keseluruhan murid dalam Tahun Enam (2020) mengambil keputusan untuk menduduki PKSK,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, fokus utama KPM ketika ini adalah untuk memperkasakan PKSK.
Selari dengan pemansuhan UPSR, Radzi berkata Pertaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) untuk murid berkeperluan khas juga turut dimansuhkan.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk tahun ini dibatalkan.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kekangan masa pelajar untuk membuat persiapan pembelajaran bersemuka bersama guru di sekolah.
“Jika kita lihat keadaan penularan COVID-19 masih belum dapat ditangani sepenuhnya”.
“Kita mengambil kira keadaan semasa dan mengambil kira bahawa tanpa pelaksanaan PT3, kaedah pentaksiran murid boleh terus dilaksanakan”, tambahnya.