Selepas peniaga burger dikenakan kompaun berjumlah RM50,000 di Kelantan, nasib yang sama menimpa seorang peniaga colek di Kampung Chekok Tengah, Kelantan apabila dikompaun jumlah yang sama.
Mohd Azizi Mohd Nor yang berniaga colek di sebelah malam sepanjang Ramadan di hadapan rumahnya berasa terkejut apabila didatangi beberapa anggota polis pada jam 11:20 malam 25 April lalu.
Jelasnya, anggota terbabit kemudian terus mengeluarkan notis kompaun RM50,000 atas kesalahan beroperasi lebih masa, menyebabkan dia dan isteri berasa terkejut.
“Saya terkejut. Tak tahu nak kata apa melihat jumlah yang kami kena bayar. Berniaga di depan rumah ini pun bukan senang”.
“Mahu dapat RM100 semalam pun susah kerana hanya berniaga kecil-kecilan di kawasan kampung”, ujarnya.
Mereka sememangnya tidak mampu bayar jumlah sebanyak itu. “Kalau diberi pengurangan hingga 80% pun kami tidak akan mampu bayar”.
Tambahnya lagi, dia lebih rela untuk dipenjarakan sekiranya tiada pilihan lain.
Bercerita lanjut, Mohd Azizi mendakwa dia dan isteri sudah pun menutup kedai pada jam 10 malam. Sebahagian lampu juga sudah dipadamkan sebelum ketibaan anggota polis.
Hanya lampu bahagian dapur belum dipadam kerana mereka sedang mengemas sambil menggoreng keropok untuk anak mereka yang masih belum tidur.
Mohd Azizi bekerja sebagai mekanik manakala isterinya berniaga mi celup pada waktu siang. Namun disebabkan Ramadan, mereka berniaga di sebelah malam.
“Inilah cara kami untuk mencari rezeki menyara hidup kami termasuk lima anak yang masih bersekolah, selain tiga anak saudara”.
“Bila kena kompaun macam ini, memang kami agak kecewa kerana ini kali pertama saya dikenakan kompaun tetapi sudah terus kena RM50,000”, luahnya.
Dia dan isteri juga difahamkan sudah mengemukakan rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah namun masih belum dimaklumkan jumlah pengurangan yang bakal diberikan.
Mereka berdua berharap agar ada pihak yang tampil dan sudi membantu mereka menyelesaikan kompaun itu kelak.
Mengulas lanjut, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan bahawa pihaknya akan mengambil pendekatan untuk meneliti jumlah kompaun yang dikenakan.