PANAMA- Isu dadah adalah antara masalah global yang serius. Pelbagai cara digunakan oleh sindiket dadah untuk mengaburi mata pihak berkuasa dalam melakukan kegiatan haram mereka.
Baru-baru ini sebuah lagi kes penyeludupan dadah dilaporkan dan kali ini ianya berlaku di sebuah penjara di Panama.
Apa yang mengejutkan kes tersebut melibatkan seekor kucing yang digunakan sebagai ‘alat’ untuk membawa masuk dadah ke Penjara Nueva Esperanza.
Menurut laporan agensi berita AFP, kucing berkenaan telah diserahkan kepada pusat perlindungan haiwan.
Pada 16 April lalu, seorang petugas penjara terlihat seekor kucing berwarna oren dan putih memasuki penjara berkenaan bersama kain kecil yang diikat pada lehernya.
Ketua Sistem Penjara Panama, Andres Gutierrez berkata, pemeriksaan pada kain putih berkenaan terdapat paket kecil yang mengandungi serbuk putih dan daun. Pemeriksaan lanjut mendapati bahan tersebut merupakan dadah jenis kokain dan marijuana.
Sebelum ini pengawal penjara berkenaan berjaya mengesan burung merpati yang dilatih untuk menyeludup dadah ke dalam penjara itu, lapor AFP.