Antara perkara yang paling menjadi kebimbangan pemilik haiwan ialah apabila haiwan kesayangan mereka hilang dari rumah.
Pasti satu rumah tidak senang duduk mahu mencari haiwan peliharaan yang hilang, risau-risau jika haiwan mereka kemalangan, sesat atau diambil orang.
Untuk mencari haiwan yang hilang juga terkadang tidak mudah. Bayangkan betapa besarnya kawasan perumahan, haiwan kesayangan mereka boleh berada di mana-mana!

Namun, sebenarnya ada cara paling ‘legend’ untuk mencari haiwan peliharaan yang hilang iaitu dengan menyampaikan pesan kepada haiwan melalui kawan-kawan mereka di jalanan.
Itulah yang dilakukan oleh seorang pemilik kucing apabila kucingnya sudah berhari-hari tidak pulang ke rumah. Walaupun sebelum ini kucingnya pernah lari dari rumah tetapi ia akan pulang juga, tetapi kali ini sudah berhari-hari ia tidak pulang ke rumah langsung.
Jadi, untuk mencari kucingnya yang hilang pemilik tersebut telah menyiarkan berita tersebut di internet untuk meminta bantuan orang ramai. Di situlah ada seorang pengguna internet yang berkongsi tips dengan menyuruh pemilik haiwan itu meminta kucing jalanan menyampaikan pesan kepada kucingnya yang hilang supaya pulang ke rumah.

Pemilik kucing tersebut kemudian mula bercakap dengan kucing-kucing jiran dan kucing-kucing di jalanan dengan memberi pesan kepada mereka supaya memberitahu kepada kucingnya untuk pulang ke rumah.

Apa yang mengejutkan apabila sampai sahaja di rumah pemilik kucing tersebut mendapati kucingnya telah berada di depan pintu rumah!
Nampaknya usahanya telah berhasil dan tips yang diberikan memang sangat berguna. Rupa-rupanya sudah ramai yang menggunakan teknik ini untuk memanggil pulang kucing mereka yang tidak pulang ke rumah dan kebanyakannya memang berhasil!
Jadi, jika suatu hari nanti kucing anda hilang berhari-hari gunakan kaedah ini. Kucing mempunyai daya komunikasi yang baik, jadi kemungkinan besar kucing anda yang hilang pasti akan pulang semula ke rumah.