Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) secara rasminya telah melancarkan Aruz menerusi pasaran luar negara pertama, iaitu di Singapura.
Menurut Perodua, harga Aruz S$92,999 (RM286,409) berkenaan termasuk dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta sijil kelayakan (COE).
Dalam satu kenyataan, Perodua mengatakan bahawa Aruz akan dijual oleh satu-satunya pengedar Perodua yang sah di Singapura, Perocom Auto Pte Ltd.
Kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad, pelancaran Aruz yang berkapasiti 7 tempat duduk itu adalah yang pertama ditawarkan oleh Perodua di negara terbabit.
Dengan hampir 58,000 unit terjual di Malaysia sejak tahun 2019, Perodua Aruz adalah kenderaan utiliti gaya terlaris di Malaysia secara keseluruhan pada tahun 2019 dan 2020.
“Kami berharap dapat berkongsi ruang, keselamatan, keserbagunaan, ketahanan, praktikaliti dan kecekapan bahan bakar Aruz dengan jiran Selatan kami”, ujarnya lagi.
Selain Singapura, Perodua turut mengeksport produk keretanya ke Brunei, Sri Lanka, Mauritius, Seychelles, Fiji dan Indonesia.