Seorang penghantar Grab Food dilaporkan meninggal dunia setelah dihempap pokok yang tumbang di Taman Len Seng, Cheras pada petang 15 April.
Difahamkan bahawa sebanyak tujuh pokok didapati telah tumbang ekoran hujan lebat dan ribut yang melanda beberapa lokasi di sekitar ibu negara sejak jam 4:15 petang.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.
Mangsa difahamkan diangkat oleh orang ramai yang berada di lokasi terbabit sebelum dibawa ke stesen minyak Petronas Alam Damai sementara menunggu pasukan perubatan tiba.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Kuala Lumpur, berkata pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan kematian mangsa.
Selain itu, JBPM menerima enam lagi laporan pokok tumbang berlaku di sekitar Kuala Lumpur, petang tadi, termasuk di Seksyen 2, Wangsa Maju; Jalan Pantai Murni, Pantai Dalam dan Kampung Padang Merbuk.
Media Selangor/Facebook
Selain itu, Jalan Melati, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2)-Hulu Klang; kawasan berhampiran Wisma Tani, Jalan Bukit Tunku dan Jalan Tijani, Bukit Tunku.
Pasukan bomba turut memulakan kerja pemotongan dan mengalihkan pokok yang tumbang bagi memastikan setiap kawasan dalam keadaan selamat.
Menurut kenyataan itu lagi, ada antara pokok tumbang yang menghalang lalu-lintas sehingga menyebabkan kesesakan.
Antara pasukan bomba yang terlibat adalah Balai Bomba Penyelamat (BBP) Cheras, Wangsa Maju, Pantai, Seputeh, Sentul, Gombak Selatan, Hang Tuah dan Sri Hartamas.