Dua pengawal peribadi dipercayai telah dipukul hingga cedera selain menerima ugutan bunuh oleh majikan hanya kerana berpuasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, kejadian itu bermula di sebuah kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur pada jam 10 malam 13 April lalu.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa bekerja dengan sebuah syarikat keselamatan dan dilantik sebagai pengawal peribadi suspek yang berusia 43 tahun”.
BMF Official/Facebook
Semasa di kondominium terbabit, suspek yang juga majikannya bertanya sama ada mereka berpuasa. Setelah mengetahui mereka berpuasa, suspek bertindak memarahi dan menampar mangsa.
Kedua-dua mangsa kemudiannya telah mengikut suspek ke rumahnya di Batu Nilam, Klang dan turut dipukul menggunakan rotan.
BMF Official/Facebook
Majikan tersebut juga turut mengambil sepucuk pistol yang berada di pinggang salah seorang mangsa dan mengacukan ke arahnya sambil mengeluarkan ugutan yang menghina agama.
Ekoran kejadian tersebut, mangsa masing-masing mengalami kecederaan – lebam dan darah beku di bahagian belakang badan serta telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.
BMF Official/Facebook
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Mahkamah Majistret Klang telah mengeluarkan perintah tahanan reman kepada empat individu termasuk seorang pengawal peribadi bagi membantu siasatan.
Info Roadblock JPJ/POLIS | Facebook
Susulan siasatan berhubung kes ini, pihak polis berjaya membongkar aktiviti judi dan ceti haram yang dijalankan syarikat milik majikan tersebut.
Serbuan yang dibuat di rumah salah seorang suspek di Bukit Tinggi menemukan sepucuk pistol bersama 10 butir peluru dan juga rotan.
Info Roadblock JPJ/POLIS | Facebook
Selain itu, terdapat 100 kilogram jongkong emas dan wang tunai dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM28.25 juta di rumah berkenaan.