Seorang pengemis berusia 70 tahun dirompak dan dicederakan oleh seorang lelaki dan perempuan yang menyamar sebagai anaknya dan memberitahunya bahawa mereka mahu membawanya pulang.
Menurut sumber, insiden tersebut berlaku di hadapan pusat perniagaan yang terletak di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah yang menjadi lokasi pengemis itu mengemis.
Difahamkan pada pagi 23 Mac, kedua-dua suspek menghampirinya lalu mendakwa mereka adalah anaknya.
Mereka turut mengatakan hasrat untuk membawanya pulang bagi mengelak malu ekoran tindakan warga emas berkenaan yang mengemis di situ.
Warga emas tersebut kemudian diculik dan dirompak melibatkan wang berjumlah RM5,000 hasil simpanan mangsa.
Mangsa kemudian dijumpai dalam keadaan terduduk di sekitar semak Kampung Raja kira-kira jam 6 petang, dengan kecederaan terdapat pada kepala, mata dan kakinya.
Insiden berkenaan dilaporkan ke pihak polis. Menurut mangsa, dia telah diculik oleh 5 orang suspek, dua daripadanya menaiki motosikal yang sama.
Sementara selebihnya membawa mangsa pergi menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk mendapatkan rawatan.
Setakat ini, masih tidak terdapat info sama ada kesemua suspek sudah ditangkap atau belum. Diharapkan agar mangsa dijaga sewajarnya dan keadilan dapat ditegakkan untuknya.