Hanya sempat menikmati momen menggembirakan selama beberapa minit, mahkota kejuaraan Ratu Cantik Mrs Sri Lanka 2021 milik Pushpika De Silva telah dirampas secara memalukan oleh penyandang juara tahun lalu, Caroline Jurie ketika acara itu sedang dijalankan secara siaran langsung.
Mrs Sri Lanka 2020, Caroline Jurie secara tiba-tiba meluru naik ke atas pentas dan merentap mahkota yang telah dipakaikan di kepala Pushpika De Silva ketika upacara menobatkan pemenang ketika acara itu disaksikan penonton menerusi siaran langsung di seluruh negara pada 4 April lalu.
Tindakan Caroline Jurie adalah disebabkan rasa tidak puas hatinya apabila mendapat tahu ketika dinobatkan sebagai juara, De Silva didakwa sudah bercerai dengan suaminya menjadikan beliau tidak layak menyandang gelaran Mrs Sri Lanka.
Difahamkan De Silva sudah bercerai dan sekali gus tidak layak untuk dinobatkan sebagai pemenang pertandingan ratu cantik itu.
De Silva kemudian menjelaskan, walaupun beliau tidak lagi duduk sebumbung dengan suaminya, mereka tidak bercerai dan hanya berpisah. Mereka masih mempunyai ikatan perkahwinan yang sah sebagai suami isteri.
Walau bagaimanpun, selepas segala salah faham telah dijelaskan, Pushpika De Silva kembali dimahkotakan sebagai juara Mrs Sri Lanka 2021 dalam satu majlis lain yang diadakan pada 6 April.
Akibat kekecohan yang berlaku di atas pentas yang disaksikan di seluruh negara, De Silva mendakwa telah mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan berkata akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Caroline ekoran insiden yang memalukan itu.
“Saya maafkan semua individu yang terlibat dalam insiden yang memalukan itu. Jika ada pihak fikir yang tindakan mereka akan dapat menghalang saya, maka misi mereka tidak berjaya. Saya adalah wanita besi,” kata De Silva.
Pihak penganjur juga membuat kenyataan mereka untuk menuntut ganti rugi daripada Caroline Jurie ekoran perbuatannya yang memalukan itu telah menyebabkan kerosakan dan kerugian kepada pihak penganjur serta tidak menghormati majlis.
“Kami telah memulakan siasatan. Saya berasa amat kesal dengan perbuatan Jurie,” kata pemegang francais dan pengarah acara berprestij di Sri Lanka itu, Chandimal Jayasinghe.
Dalam pada itu, polis Colombo Sri Lanka telah menahan bekas Mrs World Sri Lanka Caroline Jurie di bawah pertuduhan serangan ke atas Pushpika De Silva selepas ratu cantik itu berkata akan nekad untuk membuat laporan polis dan membawa perkara berkenaan ke muka pengadilan.
Pegawai polis kanan Ajith Rohana mengesahkan, “Kami telah menahan Jurie dan pembantunya Chula Manamendra atas penglibatan mereka memulakan serangan ke atas De Silva dan mencetuskan kerosakan ketika acara berlangsung di Teater Nelum Pokuna.”
Sementara itu De Silva memberitahu pemberita ketika berada di luar balai polis di Colombo pada 8 April yang pihaknya sudah bersedia untuk menggugurkan pertuduhan sekiranya Caroline Jurie bersetuju untuk membuat permohonan maaf di khalayak awam, tetapi beliau telah menolak.
“Saya cuba menyelesaikannya di luar mahkamah, tetapi beliau menolak. Saya boleh memaafkan, tetapi tidak boleh melupakan,” kata De Silva.
Pendengaran kes serangan tersebut telah ditetapkan pada 19 April, sementara Jurie dan Manamendra telah dibebaskan dengan ikat jamin pada 8 April.