KAHERAH- Sebuah pesawat EgyptAir dilaporkan terpaksa melakukan pendaratan kecemasan selepas seorang penumpang melahirkan bayinya di dalam kabin ketika penerbangan.
Kultumah Mohammed, 27, yang melahirkan anaknya dalam pesawat tersebut telah dibantu oleh seorang pelajar perubatan ketika dalam perjalanan dari N’Djamena ke Kaherah pada hari Rabu lalu.
Juruterbang pesawat berkenaan dimaklumkan tentang keadaan wanita yang memasuki fasa bersalin aktif dan semakan hampir untuk proses kelahiran bayi sebelum diminta kebenaran untuk membuat pendaratan kecemasan.
Namun begitu, bayi tersebut dilahirkan ketika berada di ruang udara Sudan.
Nasib menyebelahi wanita berkenaan kerana terdapat pelajar perubatan dari Universiti Kasr el-Ainy, Laila Mohamed Abou Bakar yang membantu dalam proses tersebut bersama beberapa anak kapal.
EgyptAir turut berkongsi foto bayi berkenaan di akaun rasmi Facebook mereka.
Kedua-dua ibu dan bayi kemudian dikejarkan ke Hospital Univerisiti Aswan sebaik sahaja mendarat di Aswan, Mesir. Pesawat berkenaan kemudian meneruskan perjalan ke destinasi akhir iaitu Kaherah.
Bayi berkenaan diberi nama Abdel Rahman dan kedua-dua ibu dan anak dilaporkan berada dalam keadaan selamat.