ISKANDAR PUTERI – Hanya kerana berasa tidak sesuai bekerja sebagai pelayan restoran, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun menipu majikan kononnya dia dijangkiti COVID-19.
Perbuatannya itu menyebabkan majikannya terpaksa menutup restoran serta-merta dan membawa 12 pekerja melakukan ujian saringan COVID-19 sebelum semua mereka didapati negatif penyakit berkenaan.
Penipuan remaja berkenaan membawa padah apabila pemilik restoran berusia 32 tahun itu membuat laporan polis sebelum dia ditahan di sebuah rumah di Taman Mutiara Rini pada 6 April jam 1 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata majikan itu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada remaja berkenaan yang menghantar sekeping gambar surat mendakwa dia telah positif COVID-19.
“Disebabkan menerima berita itu, majikannya terpaksa menutup restoran dan pergi ke klinik bersama 12 pekerja lain untuk membuat ujian calitan COVID-19,” katanya.
Selepas semua mereka didapati negatif, majikan berkenaan telah bertanya sendiri kepada remaja tidak bertanggungjawab itu untuk mengetahui perkara sebenar.
“Remaja itu kemudian mengaku dia telah menipu disebabkan tidak mahu datang bekerja gara-gara merasakan dirinya tidak sesuai bekerja sebagai pelayan restoran,” kata Dzulkhairi dalam kenyataannya.
Remaja perempuan itu baharu sahaja sehari diterima bekerja di restoran berkenaan pada 5 April.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420/468 Kanun Keseksaan atas kesalahan memalsukan laporan pemeriksaan ujian calitan COVID-19 dan suspek akan direman.