Hari perkahwinan adalah hari bermakna dalam hidup seseorang dan tentunya kita mahu dilihat berketerampilan terbaik dan kemas.
Namun tidak bagi pasangan mempelai dari Jawa Timur, Indonesia yang tular di Twitter baru-baru ini ekoran pengantin lelaki dilihat tidak berbaju dan hanya berseluar pendek.
Malah tangannya yang cedera turut dibalut, begitu juga dengan lututnya. Sedangkan pengantin perempuan pula begitu anggun berbusana tradisional Jawa.
Menurut laporan, pengantin lelaki bernama Suprapto itu difahamkan terjatuh daripada motosikalnya dan mengalami kecederaan 4 hari sebelum majlis berlangsung.
Ia membuatkan Suprapto tidak dapat memakai pakaian yang sepatutnya dipakainya kerana dia selepas itu terpaksa menjalani pembedahan pada bahu.
“Suami saya kemalangan ketika mahu membeli petrol. Dia secara tiba-tiba tidak sedarkan diri dan terjatuh daripada motosikalnya”, kata Elinda Dwi Kristiani.
Sungguhpun terpaksa berpenampilan sedemikian, orang ramai masih memuji dan memberi semangat padanya ekoran dia masih menggagahkan diri ke majlis perkahwinannya.
Mujurlah semuanya berjalan dengan lancar. Tahniah Suprapto dan Elinda..