Baru-baru ini, tular di laman sosial akan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang lelaki memecah masuk sebuah kedai makan di Kota Tinggi, Johor.
Laporan mengatakan bahawa kejadian tersebut berlaku pada 3 April lalu, sekitar jam 4:15 pagi, di mana suspek didapati mengambil sekampit beras dan susu.
Suspek yang difahamkan menjalankan kegiatan ini secara bersendirian, kini sudah ditahan di bawah Seksyen 475 Kanun Keseksaan.
Penangkapan itu dibuat di rumah suspek setelah pihak berkuasa menerima maklumat daripada orang ramai.
Hasil ujian juga mendapati bahawa suspek turut positif heroin dan mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuklah tiga kes melibatkan dadah.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Hussin Zamora berkata, suspek yang berusia 38 tahun itu adalah lelaki warga Indonesia.
Namun kini menjadi penduduk tetap Malaysia setelah berkahwin dengan wanita tempatan.
“Susulan itu, polis merampas sekampit beras 10 kilogram dan motosikal Yamaha LC 135 yang didaftarkan atas nama isteri suspek”, ujarnya.
Suspek difahamkan mempunyai anak kecil berusia 6 bulan hingga 10 tahun dan memberikan alasan mencuri kerana menanggung hidup keluarganya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Balai Kota Tinggi, Inspektor Wan Nasrul Fariq Wan Ismail ada melawat keluarga tersebut di rumahnya untuk memberikan sedikit bantuan.
Beliau juga mendapati keluarga tersebut hidup dalam keadaan susah ekoran hanya bergantung pada pendapatan isteri yang hanya ‘makan’ gaji harian sebanyak RM30 sehari.
Isteri suspek yang menangis sebak dengan bantuan itu juga difahamkan tidak mengetahui bahawa suaminya mencuri daripada kedai makan tersebut.
“Kita harap orang ramai agar jangan ambil jalan mudah walau apa pun masalah yang kita hadapi. Setiap tindakan yang kita ambil akan ada kesannya”, katanya.