Pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri sah bergelar isteri kepada jejaka Inggeris, Alexander Charles dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Masjid Pusat London pada Rabu lalu.
Berita bahagian tersebut telah dikongsi oleh Dr Amalina, 34, melalui laman Twitter miliknya, beberapa jam lalu.

Menerusi status Twitternya Dr Amalina turut mengucapkan rasa syukur apabila majlis pernikahannya dan suami akhirnya dapat dilaksanakan selepas tiga kali tertangguh berikutan pelaksanaan perintah pergerakan di United Kingdom.
“Alhamdulillah, majlis pernikahan kami selesai di Masjid Central London pada 31 Mac yang lalu. Beberapa kali tertangguh berikutan perintah pergerakan, kami lega apabila dapat menjalankan majlis ringkas yang dihadiri oleh teman rapat dan anggota keluarga. Hanya enam tetamu dibenarkan mengikut peraturan ditetapkan.


“Mengikut perancangan asal, kami ingin mengadakan majlis di Malaysia pada Mac lalu, manakala resepsi di London pula pada Jun depan. Namun, kami terpaksa menunda majlis resepsi ke satu tarikh lain bagi memastikan ramai tetamu dapat hadir.
“Kami tidak sabar meraikan hari yang cukup istimewa bersama keluarga tersayang dan rakan-rakan,” tulisnya lagi.
Dr Amalina kelihatan anggun dengan menggayakan kurung moden rona putih rekaan Cosry, manakala Charles yang juga seorang pengarah di sebuah syarikat perisian mengenakan sut lengkap berwarna hitam serta putih.

Tahniah Dr Amalina… Semoga bahagia hingga ke syurga!