Perusahaan minyak Indonesia, Pertamina pada 29 Mac mengesahkan loji penapis minyak yang beroperasi di Balongan, Jawa Barat telah ditutup ekoran berlaku kebakaran dan letupan.
Seramai 950 penduduk berdekatan telah dipindahkan manakala insiden itu telah mengakibatkan enam orang tercedera.
Menurut laporan, rumah-rumah penduduk dan masjid berdekatan loji tersebut juga turut mengalami kerosakan akibat kesan letupan yang kuat.
Pertamina dalam kenyataan turut memaklumkan bahawa tangki di loji minyak miliknya itu terbakar kira-kira jam 12:45 pagi 29 Mac, semasa berlakunya hujan lebat dan petir di kawasan tersebut.
Pihak Pertamina turut melakukan kawalan aliran minyak bertujuan untuk mencegah penyebaran kebakaran ataupun gas daripada berlaku lebih meluas.
Menurut jurucakap Pertamina, Ifki Sukarya, tiada kakitangan syarikat itu yang mengalami kecederaan.
Tambahnya, kebakaran yang tercetus berpusat pada unit penyimpanan kilang dan tidak meninggalkan kesan pada loji pemprosesan.
Balongan menempatkan salah sebuah loji penyulingan dan pemprosesan minyak mentah terbesar Pertamina, yang diambil dari Duri dan Minas dan dibekalkan untuk keperluan bahan bakar di Jakarta dan wilayah Barat Pulau Jawa.
“Punca kebakaran belum diketahui. Ketika ini, Pertamina sedang berusaha memadamkan api di kilang yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Jakarta”, kata wakil Pertamina.
Walau bagaimanapun, Ketua Polis Jawa Barat, Ahmad Dofiti berkata bahawa polis mengesyaki berlaku kebocoran di lokasi sebelum kebakaran terjadi.