Pakar perunding forensik memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan meninggal dunia sebelum kebakaran berlaku di bilik tidur rumahnya.
Dr Siew Sheue Feng selaku pakar perunding perubatan forensik dari Hospital Kuala Lumpur mendapati bahawa tiada kecederaan jelaga dan keadaan seperti itu, menunjukkan mangsa tidak menyedut udara panas.
“Nampaknya dia (si mati) sudah meninggal dunia sebelum kebakaran”, katanya yang juga saksi pendakwaan ke-46 ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanifah.
Tambah Dr Sheue Feng yang menjalankan bedah siasat terhadap Nazrin jam 5 petang pada 14 Jun 2018 itu, tiada bukti kecederaan hidu larinks atau jelaga pada trakea serta saluran udara yang lebih dalam.
Keterangan itu diberikan beliau semasa perbicaraan kes pembunuhan Nazrin yang dihadapi balunya, Samirah Muzaffar dan dua remaja serta wanita warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari.
Kesemuanya didakwa melakukan pembunuhan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11:30 malam 14 Jun 2018 hingga jam 4 pagi hari berikutnya.
Dr Sheue yang cukup berpengalaman itu juga turut menyenaraikan 16 tanda kecederaan pada tubuh mangsa – luka menembus berukuran 5×4 sentimeter (sm) di parietal kiri, luka menembus 2×1 sm di dahi kanan dan luka menembus 2×1.5 sm di bahagian atas dan depan leher.
Lebih kurang 100 keping foto semasa bedah siasat dijalankan turut dikemuka dan dijelaskan oleh beliau pada skrin mahkamah, di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.