Tidak semua orang beruntung untuk mendapatkan majikan yang baik. Seringkali kedengaran rungutan orang ramai mengenai majikan mereka yang tidak memahami.
Namun, tuah berpihak kepada pemuda ini apabila majikan di tempat kerjanya disifatkan sebagai seorang yang baik.
Bukan itu sahaja malah suasana di tempat kerjanya juga sangat memuaskan hatinya. Apa yang lebih menarik lagi walaupun hanya dia satu-satunya pekerja berbangsa Melayu di situ namun dia menerima layanan yang sangat baik. Dia juga memperolehi banyak pengalaman sepanjang dia bekerja di syarikat tersebut.
Semua ini dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter, (@MrSodiqin) apabila dia berkongsi sebuah video yang begitu menyentuh hati di laman sosial tersebut.
Video itu menunjukkan Sodiqin memberikan hadiah perpisahan kepada majikannya setelah berhenti bekerja dari syarikat tersebut. Menurutnya lagi, dia merupakan sebahagian daripada pasukan jualan bagi syarikat itu. Pada mulanya ada 11 orang dalam pasukan tersebut sebelum seorang demi seorang memutuskan untuk meninggalkan syarikat.
Sebab utama dia mengundurkan diri adalah kerana terdapat masalah antara pihak pengurusan dan jabatannya. Hal tersebut membuatkannya merasa dia tidak mampu untuk memajukan diri jika terus berada di situ.
Antara perkara paling sukar buatnya untuk meninggalkan syarikat adalah apabila dia terpaksa meninggalkan majikannya.
Dalam video itu, majikannya menangis dan berkali-kali meminta maaf kepadanya kerana mengecewakannya.
Walaupun mereka semua di situ berbangsa Cina tetapi dia tetap selesa bekerja bersama. Kawan-kawannya akan memastikan dia betah di situ. Apabila tiba waktu makan mereka sangat prihatin mengenai makanan halal. Jika mereka mahu ‘melepak’ pula mereka akan memastikan kafe yang dikunjungi tetap halal.
Pengalaman yang dimiliki oleh Sodiqin pastinya sangat mahal dan berharga buatnya. Semuanya pasti tidak akan mudah untuk dilupakan.