Enam ekor anjing baka Labrador Retriever di Thailand telah dilatih untuk mengesan virus COVID-19 pada peluh manusia dengan cara menghidunya.
“Anjing-anjing itu hanya memerlukan 1 hingga 2 saat untuk mengesan virus”, jelas ketua projek dari Universiti Chulalongkorn, Profesor Kaywalee Chatdarong.
Difahamkan hanya dengan masa seminit, anjing-anjing itu mampu mengenal pasti lebih kurang 60 sampel.
Tambah Kaywalee, pemilihan anjing dibuat ekoran haiwan pintar tersebut mempunyai deria bau 50 kali ganda lebih baik berbanding manusia.
Pengesanan pada peluh manusia itu terbukti hampir 95% tepat semasa latihan dan mereka ini ditempatkan di beberapa hub pengangkutan yang sibuk.
Malah, anjing-anjing tersebut juga berupaya mengesan sebatian organik mudah meruap yang dikeluarkan oleh peluh pesakit pesakit COVID-19, walaupun tanpa gejala.
Sekiranya individu yang dihidu mereka itu merupakan pembawa virus COVID-19, anjing terlatih itu akan duduk dengan serta merta.
Sungguhpun begitu, pakar mengesahkan bahawa proses mengenal pasti yang dilakukan oleh anjing tersebut adalah selamat dan tidak merisikokan kesihatan mereka.
Sebelum ini, negara lain seperti Finland, Jerman, Perancis dan Australia juga menggunakan kelebihan pada anjing untuk mengesan virus dengan ketepatan sebanyak 94%.
Kaywalee juga berhasrat untuk melatih lebih banyak lagi anjing pada masa hadapan yang mampu mengesan masalah kesihatan lain, misalnya diabetes, depresi, malaria dan Alzheimer.