Rezeki, jodoh dan ajal sudah ditentukan oleh Allah SWT untuk setiap umatnya, dan tugas kita sebagai khalifahnya adalah untuk terus-terusan berusaha mendapatkan yang terbaik.
Bagi pasangan yang sudah berkahwin, untuk mendapatkan cahaya mata pastinya menjadi salah-satu impian yang sangat dinanti-nantikan bagi melengkapkan lagi sesebuah keluarga.
Bagaimanapun, tidak semua pasangan bernasib baik dan ada antaranya terpaksa menunggu lama serta melakukan pelbagai usaha demi mendapatkan zuriat sendiri.
Begitulah yang dialami oleh sepasangan suami isteri yang baru-baru ini tular di media sosial apabila video ketika mereka bertemu dengan doktor untuk mengetahui keputusan ujian kehamilan selepas mereka melakukan proses kehamilan In Vitro Fertilization (IVF) mendapat perhatian ramai.
Menerusi video yang berdurasi 57 saat itu, pada mulanya si isteri yang duduk berhadapan dengan seorang doktor dilihat berasa gemuruh apabila diberikan sebuah bekas yang mengandungi kit ujian kehamilan.
Sebelum menghulurkan bekas itu, doktor itu sempat berpesan kepada wanita itu untuk redha dengan apa sahaja keputusan yang mungkin dilihatnya dalam kit ujian itu.
Kemudian, sebaik sahaja wanita itu membuka bekas itu dan melihat keputusan positif dalam kit ujian itu, dia dengan terkejutnya terus menangis dan memeluk suaminya.
Mulut wanita itu tidak henti-henti memuji Allah SWT, sambil memeluk erat suaminya.
Semua yang berada di dalam bilik tersebut tidak dapat menahan sebak, masing-masing turut menangis terharu dengan keputusan yang diterima setelah pasangan itu menunggu dengan penuh sabar selama enam tahun lamanya.
Arghh tak tahan 😭😭😭😭
— bullehhh (@lisaa_aa98) February 24, 2021
Tak tahu mcm mana ada makcik bawang tu boleh kutuk cikti buat ivf 😭 pic.twitter.com/zX8C9PFNXP
Memang sebak melihat video yang penuh dengan rasa kesyukuran ini. Di ruangan komen, ramai warganet yang turut meninggalkan komen dan turut berkongsi rasa sebak mereka.
Malah, ada juga antaranya yang turut berkongsi pengalaman peribadi masing-masing yang turut sedang menjalani ujian untuk mendapatkan zuriat setelah bertahun-tahun mendirikan rumah tangga.
Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman ini telah pun meraih sehingga lebih dari 485,200 tontonan, lebih dari 26,100 sukaan, lebih dari 24,200 retweet dan 274 komen dari warganet setelah dimuat naik pada 24 Februari lalu.