Bergurau tanpa batasan tentang apa yang dianggap hanya untuk berseronok, tetapi akhirnya mengundang padah apabila sekumpulan remaja tidak menyedari bahawa mereka sedang melakukan perkara yang amat berbahaya.
Sebuah rakaman video CCTV menjadi tular di media sosial Filipina baru-baru ini yang menunjukkan sekumpulan remaja lelaki sedang berseronok dengan ‘permainan pusing sampai pening’ di tepi kolam.
Kumpulan remaja itu begitu seronok memutar salah seorang rakan mereka dalam satu bulatan sehingga dia menjadi pening dan kemudian menolaknya ke dalam kolam untuk melihat sama ada dia masih kuat dapat berenang atau mengaku kalah akibat terlalu pening.
Davao 7tv menerusi laman Facebook mereka telah memuat naik rakaman CCTV yang menunjukkan bagaimana sekumpulan remaja ini sedang rancak bermain permainan yang berbahaya itu di tepi kolam renang yang seperti berada di taman tema air.
Mereka menulis, “Seorang remaja lelaki lemas di kolam renang. Bagi mereka yang mandi-manda di laut atau kolam renang, jangan terlalu berseronok bermain air yang mampu mengundang maut.”
Video tersebut menunjukkan empat orang remaja lelaki dapat dilihat memusingkan salah seorang rakan mereka sehingga dia menjadi pening dan kemudian menolaknya ke dalam kolam renang.
Remaja lelaki itu kemudian dapat dilihat sedang terkapai-kapai seperti sedang lemas sementara rakan-rakannya yang lain melihat ke dalam air sambil ketawa, sebelum tidak lama kemudian mereka terjun ke dalam kolam itu untuk membantunya, tetapi dia telah hilang di dasar kolam dan tidak muncul di permukaan.
PhilNews melaporkan, remaja-remaja ini kemudian seakan panik dan mula mencari rakan mereka pada waktu yang agak lama sebelum mereka memanggil pengawal penyelamat untuk memberikan bantuan.
Tidak lama kemudian, pengawal penyelamat menemui mangsa yang telah tenggelam di dasar kolam lalu dengan segera menariknya untuk memberikan bantuan kecemasan dan CPR kepada remaja itu yang telah tidak sedarkan diri ketika dibawa keluar dari kolam.
Tidak dapat dipastikan keadaan terkini remaja itu tetapi dia telah dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri, semuanya akibat sekadar ingin berseronok dengan permainan yang mengundang insiden mengancam nyawa.
Diharapkan remaja lelaki berkenaan selamat dan orang awam sepatutnya lebih peka akan bahaya bermain permainan seperti ini di lokasi yang tidak sepatutnya.