KUALA LUMPUR- Harimau Malaya yang bernama ‘Awang Rasau’ dilaporkan telah mati pada jam 12.00 tengah hari, hari Jumaat, 5 Mac lalu.
Berita tersebut telah diumumkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILTAN) melalui akaun Facebook rasmi mereka.
Menurut PERHILITAN haiwan berusia 15 tahun itu tersebut telah dirawat di Hospital Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) akibat komplikasi saraf, kegagalan sistem perkumuhan dan jangkitan kuman pada luka di kaki belakangnya.


Awang Rasau dikatakan mengalami kecederaan akibat terkena 8 butir peluru yang ditembak oleh pemburu haram.
Selain itu, peluru ini juga turut mengenai paru-paru serta sistem sarafnya yang telah menyebabkan harimau seberat 160 kg itu telah lumpuh separuh badan dan hanya boleh bergerak menggunakan kaki hadapannya sahaja. Luka kaki belakangnya akibat seretan juga amat serius.

Setelah kesihatan Awang Rasau semakin merosot pada 3 Mac 2021, pihak Jabatan PERHILITAN telah sedaya upaya menyelamatkan Awang Rasau dengan mendapatkan rawatan susulan serta nasihat Doktor Pakar di Hospital Veterinar UPM pada 4 Mac 2021 namun Awang Rasau masih tidak dapat diselamatkan.
Harimau Malaya itu ditangkap PERHILITAN melalui tembakan ubat pelali pada 22 Februari lalu di Ladang FELDA Kerteh 2, Kemaman, Terengganu, selepas menerima aduan penduduk berhubung gangguan harimau yang menyerang ternakan sekitar ladang, sejak November tahun lalu.