LENGGONG- Kemuculan seekor harimau dahan di sebuah kawasan perumahan telah menggemparkan penduduk kawasan sekitar tersebut. Harimau tersebut dilihat sedang berkeliaran di Taman Kota, Kampung Lahar, Lenggong, pada 4 Mac lalu, sekitar jam 2.00 pagi.
Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK), Kampung Lahar, Bahari Ismail berkata, kehadiran harimau yang sedang menghidu sesuatu beberapa meter di hadapan rumah itu sempat dirakam tuan rumah dan isterinya. Harimau tersebut seolah-olah sedang berada dalam kelaparan dan sedang mencari makanan.
Kejadian itu membuatkan ramai penduduk di kawasan itu risau akan keselamatan mereka dan takut untuk keluar bekerja.
Menurut Bahari, nampaknya harimau jenis itu mungkin sama seperti yang pernah dilihatnya tahun lalu, pada waktu malam dan ketika itu sedang berlakunya musim kemarau, sama seperti yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia sekarang.
Perkara itu kemudian dilaporkan kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, tindakan segera telah diambil bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini.
Katanya, perangkap telah pun dipasang di kawasan tersebut bagi memerangkap haiwan berkenaan.