Seorang wanita warga emas, Mauricia Ibanez telah kehilangan hak penjagaan kedua bayi kembarnya, Gabriel dan Maria de la Cruz yang dilahirkannya pada tahun 2017, selepas menerima rawatan IVF di Amerika Syarikat.
Mauricia dipercayai tidak berupaya untuk menjaga dan membesarkan kedua anak kembarnya yang kini sudah berusia 4 tahun.
Kedua-dua anaknya itu telah diambil oleh dan dijaga di rumah anak angkat sebaik sahaja mereka lahir pada tahun 2017.
Keputusan itu telah dibuat oleh Mahkamah Wilayah Burgos setelah mendapati bahawa bayi kembar tersebut tidak dijaga dalam keadaan yang optimum.
Malah tahap kesihatan Mauricia turut tidak diketahui umum dan kembar tersebut juga didapati berada dalam situasi yang sangat rentan kerana ketidakmampuan ibu untuk menjaga mereka.
Keputusan itu juga dibuat berdasarkan pandangan pakar, di mana ia tiada kaitan dengan usia mahupun kesihatan mental Mauricia.
“Mereka ambil semuanya daripada saya bahkan mereka turut mengambil anak-anak saya”, luah Mauricia tahun lalu.
Kembar terbabit difahamkan telah ditempatkan dibawah jagaan keluarga angkat semenjak diambil, dengan kebenaran buat si ibu melawat mereka.
Empat tahun yang lalu, Mauricia telah menandatangan persetujuan untuk menerima khidmat sosial yang membantu menyediakan bantuan jagaan 24 jam terhadap bayinya.
Namun 10 hari selepas pulang daripada hospital, pihak berkuasa berpendapat bahawa kembar berkenaan berada dalam keadaan yang berisiko memandangkan Mauricia masih lagi belum sembuh daripada luka pembedahan Caesarean.
Ibu itu juga mempunyai seorang lagi anak, Blanca yang juga hasil daripada rawatan IVF. Blanca turut diletakkan di bawah jagaan rumah anak angkat pada tahun 2014 dan kini berada di Canada.
Mauricia yang merupakan bekas penjawat awam sebelum ini mula mengembangkan keluarganya setelah diberi skim persaraan awal kerana menghidapi masalah kesihatan.