Perjalanan dua beradik membawa pulang kereta jenis Proton Iswara Aeroback sebagai hadiah hari lahir buat bapanya berakhir dengan tragedi setelah terlibat kemalangan.
Dua beradik tersebut yang memandu kereta secara berasingan, didapati meninggal dunia dalam satu insiden yang berlaku di Kilometer 17, Jalan Kuala Pilah Simpang Pertang pada 27 Februari lalu.
Menurut sumber, kereta Proton Iswara dipandu oleh Hafidzan Zainal telah hilang kawalan lalu merempuh penghadang jalan.
Sementara adiknya, Mohd Fauzi Zainal mengikuti di belakang dengan memandu Perodua Myvi dan dilaporkan meninggal dunia setelah mengalami serangan sawan apabila menyaksikan kemalangan itu.
Difahamkan bahawa kemalangan itu berlaku ketika dua beradik itu dalam perjalanan dari Felda Pasoh, Jelebu untuk ke Taman Kobena, Senawang selepas selesai urusan pembelian.
“Mereka pergi dengan sebuah kereta. Ketika pulang, abang bawa Iswara manakala adik bawa kereta Perodua Myvi. Ketika pulang, kereta abang dipercayai terbabas”, ujar wakil keluarga, Shah Rizal Zainal.
“Adik pula dikatakan terkejut dan pengsan melihat abang berlumuran darah di depan matanya”, tambahnya lagi.
Ujarnya, kedua beradik itu sudah lama berhasrat untuk menghadiahkan bapa mereka kereta bagi memudahkan urusan bapanya ke mana-mana.
“Tetapi sudah takdir, kereta tidak dapat digunakan malah mereka pula pergi dalam keadaan menyedihkan”, katanya lagi.
Ketua Polis Jempol, Supt Hoo Chang Hook mengesahkan kejadian tersebut.
“Kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah. Bagaimanapun, Mohd Fauzi disahkan meninggal ketika dalam perjalanan”.
“Pemeriksaan terhadap mangsa juga mendapati tiada kecederaan atau luka luaran yang disyaki ada unsur jenayah”.
Semakan rekod perubatan juga mendapati Mohd Fauzi mempunyai sejarah sakit sawan. Bedah siasat ke atasnya turut dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kematian.
Manakala Hafidzan pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8 malam selepas lebih tiga jam terlibat dalam kemalangan.
“Proses bedah siasat dijalankan ke atas mangsa pada 9 pagi dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987”, katanya.