Gaya hidup masyarakat masa kini yang agak sibuk menyebabkan khidmat penghantaran seperti ‘runner’ agak diperlukan untuk menyelesaikan sesuatu tugasan.
Ianya mudah dan menjimatkan masa, maka sudah tentulah ramai di antara kita yang memilih khidmat penghantaran sebegini.
Antara yang menjadi pilihan ramai adalah khidmat dalam menghantar kejutan istimewa semasa hari lahir, seperti apa yang dirancangkan oleh wanita ini kepada suami tersayang.
Namun nasibnya malang apabila kek yang ditempahnya dihantar dalam keadaan yang tidak elok dan rosak!
Kesedihan wanita yang dikenali dengan nama akaun Deana Hashim turut dikongsikan menerusi laman sosial, TikTok miliknya.
Menurut sumber, kek tersebut sepatutnya dihantar menggunakan kereta memandangkan penetapan itu sudah pun dibuat seminggu sebelum masa penghantaran.
“Saya sudah maklumkan lebih awal kepada runner item yang perlu dihantar adalah kek. Jadi saya minta runner gunakan kereta untuk hantar”.
Sebaliknya, runner tersebut pula menghantar kek tersebut dengan menaiki motosikal, sedangkan caj penghantaran adalah menggunakan kereta.
“Masa kek itu sampai, saya masih di pejabat. Anak saya yang terima, kata ada rosak pada kek. Saya ingatkan rosak sedikit. Bila tengok, kek itu terbelah dua”.
Sebaik sahaja mahu memaklumkan mengenai keadaan kek itu kepada runner, wanita itu mendapati panggilannya dimatikan dan kemudian nombornya disekat.
Kasihan wanita ini, kejutan bermakna yang diharapkan buat suami tersayang bertukar menjadi satu memori buruk dan semuanya kerana sikap runner yang tidak jujur.