Peguam yang mewakili Presiden Donald Trump semasa perbicaraan pendakwaan baru-baru ini mendedahkan sebuah sekolah undang-undang membatalkan kursus undang-undang hak sivil yang akan diajar olehnya dan beliau telah digantung daripada senarai peguam hak sivil dalam perbincangan menerusi e-mel.
“Saya berharap dapat mengajar kursus hak sivil di salah sebuah sekolah undang-undang pada musim gugur. Kami telah berbincang dan merancangnya. Saya menulis kepada mereka dan berkata, ‘Saya ingin memberitahu anda, saya akan mewakili Donald Trump dalam kes pendakwaan. Saya tidak tahu sama ada ia mempengaruhi keputusan anda sama sekali’,” kata David Schoen, salah seorang daripada tiga peguam yang berhujah di hadapan Senat Amerika Syarikat, kepada The Epoch Times.
“Dan mereka berkata, anda tahu, mereka menghargai tulisan saya dan terus terang, itu akan membuatkan sebilangan pelajar dan fakulti berasa tidak selesa, jadi saya tidak dapat melakukannya,” katanya.
“Amat menyedihkan buat saya kerana saya sangat ingin mengajar. Saya suka melakukannya,” kata Schoen.
Schoen yang berpangkalan di Alabama dikenali sebagai peguam litigasi hak sivil, enggan menamakan sekolah undang-undang yang membatalkan kursus tersebut. Beliau juga enggan menamakan organisasi undang-undang di sebalik senarai e-mel yang menggantungnya.
“Mereka sebenarnya menghabiskan masa 48 jam untuk membincangkan perkara ini dengan lembaga mereka dan sebagainya. Dan mereka memutuskan bahawa mereka perlu menggantung saya dari daftar tenaga pengajar. Ini sangat penting bagi saya. Mereka adalah peguam hak sivil yang sangat dikenali dan golongan yang baik,” kata Schoen.
Schoen menyampaikan hujah penuh semangat pada hari pertama perbicaraan tentang bagaimana Senat tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa bekas presiden.
Pada akhir hujahannya, beliau nampak begitu beremosi dan sebak ketika membaca puisi karya Henry Wadsworth Longfellow berjudul ‘The Building of the Ship’ terbitan tahun 1849.
David Schoen memberitahu The Epoch Times bahawa beliau memilih puisi itu – dan petikan daripada Presiden Abraham Lincoln sebagai duluan – kerana beliau memandang zaman Lincoln sebagai yang paling hampir dengan perpecahan terkini yang berlaku di Amerika Syarikat.
“Saya rasa kita berada dalam masa yang berbahaya dan terbahagi. Pilihan raya itu sendiri menunjukkannya, tetapi saya rasa semua retorik menunjukkannya,” kata Schoen.
Schoen membawa anak-anaknya yang berusia 15 hingga 25 tahun ketika dalam proses menyiapkan pernyataan perbicaraan pendakwaan. Anak perempuannya mencadangkan untuk menggunakan puisi Longfellow.
“Saya menulis sendiri penyataan saya. Saya ingin berkongsi dengan anak-anak dan saya mahu maklum balas mereka. Mereka sangat membantu saya. Salah seorang anak lelaki saya bersama saya dalam perbicaraan pendakwaan,” kata Schoen.
Schoen bukan satu-satunya peguam yang menghadapi kesan ancaman kerana menjadi peguambela bekas presiden Trump.
Peguam Michael van der Veen berkata, penceroboh vandalisme memecahkan tingkap di rumah dan merosakkan rumahnya dengan grafiti. Van der Veen terpaksa memindahkan anak-anaknya ke lokasi rahsia dan mengupah pengawal bersenjata untuk melindungi rumah dan tempat kerjanya.
Schoen berkata beliau sudah biasa dengan ancaman selepas berpengalaman berpuluh tahun mengendalikan kes-kes berkaitan undang-undang hak sivil.
“Semasa saya tinggal di Alabama, saya tinggal di belakang pagar elektrik dengan dua ekor German Shepherd dan saya harus membawa pistol ke mana sahaja saya pergi. Selama bertahun-tahun saya menghadapi pelbagai ancaman dengan pelbagai alasan. Tetapi jika anda membiarkannya berhenti, saya rasa anda berada dalam urusan yang salah,” kata Schoen.
Schoen menerima Anugerah Pro Bono Publico dari Persatuan Peguam Amerika Syarikat (ABA) pada tahun 1995 untuk kerja-kerja hak sivilnya.
Buku panduan ABA menyatakan (pdf) beliau ‘diiktiraf atas sumbangannya yang sangat besar dalam membawa perubahan di sekolah, penjara, pusat perlindungan, jabatan polis, dan akses pengundian di Selatan’.
Senat membebaskan Trump dari pertuduhan menghasut rusuhan dan pemberontakan di Bangunan Capitol pada 6 Januari. Schoen berkata beliau ada bercakap dengan presiden setelah pembebasan itu. Katanya, presiden “sangat bersemangat, sangat berpuas hati.”
Semasa perbicaraan, Schoen bercakap dengan Trump sebanyak dua atau tiga kali sehari. Beliau mengatakan “presiden sentiasa ‘sangat ramah’, ‘sangat menyokong’ dan ‘sangat menghargai’ penyampaian hujah yang saya lakukan.”
Beberapa hari selepas pembebasan itu, ahli tertinggi Dewan Demokrat dan National Association for Colored People (NAACP) memfailkan saman ke atas Trump kerana rusuhan di Capitol, dengan menuduh bekas presiden itu berkonspirasi dalam rancangan untuk menyerang Capitol. Schoen mengatakan tuntutan itu adalah ‘teater politik’.
“Saya tidak fikir ada manfaatnya. Saya rasa ini adalah penyalahgunaan undang-undang yang didasarkan dengan niat. Dan saya rasa ini hanya akan membawa kepada perpecahan yang lebih jauh,” kata David Schoen.