SHAH ALAM: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa, 16 Februari atas enam pertuduhan kerana memiliki enam unit kotak media berjenama iBoite dan iBoite-X.
Pertuduhan tersebut adalah di bawah Seksyen 232 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan sekiranya sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali bagi setiap kesalahan.
Menurut laporan, tertuduh didakwa atas kesalahan memperoleh secara haram perkhidmatan aplikasi kandungan yang dibekalkan oleh Measat Broadcast Network System Sdn. Bhd.
Berdasarkan hasil laporan forensik terhadap enam kotak media yang ditemui, didapati kesemuanya mempunyai perisian MyTV.apk yang merupakan sistem yang direka bentuk untuk memperoleh perkhidmatan siaran Astro secara haram.
Terdahulu, tertuduh telah ditahan dalam satu serbuan pada 12 Disember 2019 oleh anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia (JSJK) Bukit Aman ketika tertuduh yang berumur 40 tahun berada di kediamannya di Taman Putra Prima, Puchong.
Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 2.30 petang itu turut sama disertai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP dan pegawai dari Measat Broadcast Network System Sdn. Bhd.