Gelagat kucing yang ‘peramah’ semestinya akan melembutkan hati sesiapa sahaja yang berinteraksi dengannya. Tambahan lagi, jika kucing itu berwarna oren, yang seringkali dikaitkan dengan sifat kucing yang nakal.

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang pemandu bas Rapid KL, Apai Wanakashie, melalui laman Facebooknya memuat naik sebuah video berdurasi 2:07 yang menunjukkan ‘perbualannya’ dengan seekor kucing berwarna oren yang masuk ke dalam bas yang sudah diparkir dengan ‘hasrat’ untuk ke KLCC.

Yang comelnya, setiap percakapan Apai kepada kucing itu sejak awal video lagi akan disahut oleh kucing itu dan Apai dengan bersahaja ‘mencipta’ jawapan sesuai yang kononnya diberikan oleh kucing itu kepadanya.
“Ya Encik Oyen (Oren), nak pergi mana?” tanya Apai sebaik sahaja kucing itu menaiki basnya. Selepas Oyen ‘menjawab’ pertanyaan Apai, Apai sekali lagi bergurau dengan mengatakan kononnya kucing itu menjawab mahu pergi ke KLCC.
“KLCC? KLCC dah tutuplah! Hei, pelitup muka awak mana? Awak tak imbas (kod MySejahtera) lagi,” kata Apai kepada Oyen yang langsung tidak menghiraukannya dan terus berjalan menuju ke tangga bas dan duduk dengan selesa di situ.

Comel betul!
Selepas pergi mendekati Oyen, Apai cuba untuk memujuknya untuk turun selepas mengusap-ngusapnya untuk beberapa ketika.


Tidak lama kemudian, Apai akhirnya berjaya memujuk Oyen untuk turun dari bas dan pergi makan dahulu. Dan Oyen pun dengan senang hatinya turun dari bas mengikuti Apai.

Memang comel sungguh gelagat Encik Oyen ini. Sudahlah comel, peramah pula!
Pada 15 Februari, laman Facebook rasmi Rapid KL pula didapati berkongsi video ini dengan menulis, “Jangan bersedih wahai Oyen. Kalau abang kapten bas ni tak nak bawa Oyen naik bas pergi KLCC, kita pergi naik LRT ok?”
Comel betul!
Pilihan Editor: