CHENNAI – Polis di selatan India melakukan siasatan ke atas kematian seorang bayi lelaki berusia lapan hari selepas monyet didakwa mengambil bayi itu dan membuangnya dari bumbung sebuah kediaman.
Dalam kejadian itu, seorang lagi bayi yang juga kembar mangsa kini dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Menurut AFP, pasukan polis yang menyiasat memberitahu bayi kembar itu sedang tidur di rumah mereka di Tamil Nadu ketika insiden diserang monyet berlaku.
Seorang pegawai polis berkata ibu bayi berkenaan, Bhuvaneshwari mendengar bayinya menangis sebelum melihat mereka dibawa lari dari bilik tidur dan kemudian dia mula menjerit.
Bhuvaneshwari kemudian bergegas ke luar rumah dan melihat beberapa ekor monyet dan bayi kembarnya di atas bumbung.
“Mendengar jeritan ibu bayi, jiran-jiran berkumpul untuk membantu dan berusaha menyelamatkan bayi itu,” kata pegawai polis berkenaan.
Ketika berusaha untuk mengambil bayi berkenaan, seekor monyet telah menjatuhkan seorang bayi dari bumbung rumah dan melempar seorang lagi bayi ke udara.
Bayi itu jatuh ke dalam longkang dan meninggal dunia, manakala seorang lagi bayi kini dalam keadaan kritikal, menurut pegawai polis itu.
Monyet dilaporkan sering menyerang manusia dan mencuri makanan di India. Bagaimanapun kes membabitkan penculikan bayi dan kanak-kanak oleh monyet amat jarang berlaku.
Dua tahun lalu, monyet melarikan seorang bayi yang sedang tidur di dalam kelambu di sebuah rumah di Odisha, sebelum bayi itu ditemui meninggal dunia.