Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa perutusan pada 4 Februari mengumumkan bahawa kerajaan akan memulakan ‘roll-out’ Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula hujung bulan ini.
Tambah beliau, sejumlah 80% populasi rakyat Malaysia atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma itu.
Menurutnya, progam ini melibatkan tiga fasa, iaitu :
Fasa pertama melibatkan 500,000 petugas barisan hadapan – terdiri daripada petugas kesihatan dan juga petugas bukan kesihatan. Ia dijadualkan selesai pada bulan April.
Fasa kedua pula melibatkan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 seperti warga emas dan golongan rentan yang berusia 60 tahun ke atas.
“(Mereka) yang mengalami masalah morbiliti seperti penyakit jantung, obesiti, diabetis dan tekanan darah tinggi. Golongan orang kelainan upaya (OKU) turut termasuk di dalam fasa ini.
Tambah beliau lagi, seramai 9.4 juta orang dianggarkan akan menerima vaksin di bawah fasa kedua ini yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos 2021.
Foto hiasan/Sinar Harian
Fasa ketiga pula merupakan baki penerima vaksin yang merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas dan ia akan dimulakan pada bulan Mei akan datang hingga Februari 2022.
Dalam pada itu, beliau turut mengatakan bahawa lebih 600 pusat simpanan yang juga merupakan pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara untuk program tersebut.
“Saya telah mengarahkan pihak berkuasa agar menggunakan pelbagai kemudahan termasuk fasiliti kesihatan awam dan swasta, stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai serta universiti sebagai pusat vaksinasi”.
Vaksin juga menurutnya adalah sinar harapan paling utama bagi membolehkan kita menang dalam perang melawan COVID-19.