KUALA LUMPUR – Sekali lagi isu kos operasi Zoo Negara menjadi perkara yang disebut-sebut. Kali ini Zoo Negara dikatakan terpaksa berjimat cermat dalam menjalankan operasi mereka. Hal ini kerana sumber kewangan mereka dikatakan hanya mampu bertahan sehingga April ini.

Menurut Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly @ Rahmat Ahmat Lana, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro, mengatakan bahawa pada masa ini, Zoo Negara masih dapat menampung kos operasi termasuk makanan haiwan dan juga gaji pekerja.

Walau bagaimanapun, dana semasa hanya mencukupi untuk kos operasi sepanjang PKP yang dijangka akan berakhir pada 18 Februari ini.
“Zoo Negara akan berdepan masalah kewangan jika PKP dilanjutkan untuk tempoh yang lebih panjang. Saya berharap itu tidak berlaku.
“Jika dilanjutkan, kita terpaksa merayu kepada kerajaan supaya memberi kebenaran beroperasi atau mencari kaedah lain untuk meneruskan kelangsungan,”
Rosly juga berkata, Zoo Negara kurang menerima sumbangan jika dibandingkan ketika PKP tahun lalu.
“Permulaan PKP dahulu, orang berebut-rebut nak beri sumbangan makanan haiwan dan dana sehingga kita berjaya mengumpul RM10 juta,” katanya.

Ditanya mengenai kempen haiwan angkat yang dilancarkan Zoo Negara pada tahun lalu, katanya, ia masih lagi diteruskan namun sambutannya sudah berkurangan.
Menerusi kempen itu, orang ramai boleh memilih sama ada mahu memberi sumbangan secara one off (sekali sumbangan) atau secara bulanan mengikut pakej ditetapkan.