Nasi lemak yang pernah tular dahulu, Nasi Lemak Jambatan Tamparuli (NLJT) yang diniagakan di Kuching, Sarawak dikhabarkan akan memulakan perniagaannya di Shah Alam.
Tahun lalu, gerai nasi lemak yang dikendalikan oleh Ustaz Mohd Ali Jainneh tular ekoran memberikan makanan berupa ayam goreng kepada seekor anjing yang kerap muncul di gerainya.
Anjing tersebut dilayan dengan baik hinggakan ia diberi nama Abang Long!
Bagi meneruskan niat murninya itu, Mohd Ali berkongsi bahawa dia akan memberikan 600 bungkus nasi lemaknya pada minggu pertama perniagaannya beroperasi di Shah Alam.
“Sempena minggu pertama gerai kami beroperasi bermula 2 hingga 7 Februari ini, kami ingin mengalu-alukan warga Shah Alam khususnya untuk mendapatkan Nasi lemak Biasa”.
Menurut perkongsiannya, sejumlah 100 bungkus nasi lemak sehari akan diberikan secara percuma dan ia akan berlangsung selama 6 hari berturut-turut.
Nasi lemak NLJT yang sebelum ini amat popular di Samarahan dan Kuching sejak tahun 2016 itu akan berpindah sepenuhnya ke Shah Alam.
Oleh kerana segala peralatan dan perkakas perniagaan masih dalam perjalanan dari Sarawak, maka gerai tersebut hanya akan menghidangkan nasi lemak biasa, nasi lemak telur mata dan nasi lemak ayam berempah.
“InshaAllah, lauk-lauk lain akan menyusul untuk disajikan pada minggu seterusnya”, tulis perkongsian di laman Facebook berkenaan.
Jika anda mahu merasai sendiri nasi lemak NLJT ini, anda boleh pergi ke Jalan Ibus 18/40, Seksyen 18, Shah Alam (lokasi tapak gerai Azmi Goreng Pisang Shah Alam HQ).
Gerai akan mula dibuka sekitar jam 5:30 pagi hingga 9:30 pagi pada setiap hari Selasa hinggalah Ahad.