Sejak kebelakangan ini, kita dapat lihat banyak juga kedai-kedai yang menjual barangan berpatutan atau kedai RM2 dibuka di sekitar kita.
Perkara ini sudah tentulah disambut baik oleh rata-rata masyarakat. Siapa yang tidak mahu beli barangan dengan harga yang murah bukan?
Masuk sahaja kedai RM2, pasti banyak barangan yang kita beli. Niat mulanya mahu beli satu atau dua barang sahaja namun pulang dengan plastik penuh!
Namun dalam gian membeli pun, perhatikan dahulu barangan sebelum membayarnya jika tidak mahu menyesal di kemudian hari.
Seorang pengguna Facebook, Akim Afiq baru-baru ini berkongsi pengalaman pembeliannya di kedai Eco Shop.
“Ambil (barang) situ, ambil (barang) sana dengan tak tengok harga. Lepas itu, kena tipu..”, tulis pengguna berkenaan.
Memang rasa macam orang kaya jika kedai sebegitu, bukan? Sebaik sahaja Akim pulang ke rumah, dia mendapati sarung bantal yang dibelinya tidak seperti apa diharapkan.
“Ingat happy la bila sampai rumah, nak sarung bantal. Rupanya, sarung bantal baby.. sebesar tapak tangan je oiii”, tambahnya lagi.
Jika diamati, jelas kelihatan deskripsi pada sarung bantal itu sememangnya sarung bantal untuk bayi. Jadi ia bukanlah salah pengilang.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna lain. Ada yang menasihati Akim agar tidak gelojoh ketika membeli belah. Baca dahulu sebelum beli.
Bahkan ada juga yang menyuruh Akim membawa pita pengukur supaya lebih bersedia jika tidak pasti akan ukuran yang dinyatakan di masa akan datang.