Sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang jururawat didapati melanggar sebuah ambulans hingga terbalik di Melaka pada 1 Februari lalu.
Perodua Myvi tersebut dilaporkan gagal dikawal hingga mengakibatkan ambulans yang dilanggar terbalik di persimpangan lampu isyarat Taman Bertam Impian.
Sebelum terlibat kemalangan, ambulans tersebut sedang bergegas dari arah Cheng menuju ke Sungai Udang.
Pada masa yang sama, pemandu Perodua Myvi yang datang dari arah yang berbeza, hilang kawalan lalu bertembung dengan ambulans.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, jururawat berusia 35 tahun dan pemandu ambulans berusia 51 tahun itu dalam keadaan selamat dan tidak cedera.
“Siasatan masih diteruskan dan kenderaan berkenaan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk pemeriksaan lanjut”.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987”, ujarnya lagi.
Sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 bulan dan denda sebanyak RM10,000.