HANOI – Tiga orang sukarelawan menjadi penerima suntikan pertama dos sebanyak 50 mikrogram (mkg) vaksin COVID-19, Nanocovax pada 26 Disember lalu.
Nanocovax, dibangunkan oleh Nanogen Pharmaceutical Biotechnology JSC dan Universiti Perubatan Tentera Viet Nam adalah calon vaksin pertama negara itu yang mencapai peringkat percubaan untuk manusia.
Keseluruhan sukarelawan dilaporkan berjumlah 60 orang, berusia dalam lingkungan 18 ke 50 tahun telah dipilih untuk peringkat pertama ujian klinikal.
Mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan, masing-masing menerima tiga dos 25mkg, 50mkg dan 75mkg. Vaksinasi itu terdiri daripada dua suntikan selang 28 hari.
Selepas suntikan, para sukarelawan dipantau oleh pihak Universiti Perubatan Tentera yang berpusat di Hanoi selama 72 jam.
Baki 17 orang dalam kumpulan itu kemudiannya akan mendapat suntikan dos 50mkg jika keselamatan vaksin disahkan.
Menurut Mejar Jeneral Hoang Van Luong selaku Timbalan Pengarah universiti, kesemua 20 orang sukarelawan dalam kumpulan itu berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang tanda-tanda abnormal selepas menerima suntikan.
Fasa pertama dijadualkan berakhir setelah satu setengah bulan, di mana pihak universiti akan terus memilih sukarelawan yang sesuai untuk kumpulan kedua, yang dijadualkan bermula pada bulan Mac 2021.
Para peserta juga akan menjalani pemantauan perubatan selama enam bulan bermula pada hari mereka diberi suntikan pertama.
JSC Bioteknologi Farmasi Nanogen telah membelanjakan VN V20 bilion (RM 3.5 juta) untuk membeli pakej insurans kesihatan untuk para sukarelawan.
Selain Nanocovax, Vietnam mempunyai beberapa calon vaksin COVID-19 lain yang dikembangkan oleh Vabiotech, Polyvac serta Institut Vaksin dan Biologi Perubatan.