Bumi akan menerima pendamping kosmik baru kerana satu asteroid mini sedang dalam laluan untuk memasuki orbit planet ini selama kira-kira dua bulan.
Bermula 29 September, ‘bulan mini’ ini akan membuat satu orbit mengelilingi Bumi sebelum bergerak ke rantau lain dalam sistem suria.
Asteroid selebar 33 kaki (10 meter), yang dinamakan 2024 PT5, mula dikesan pada 7 Ogos oleh Asteroid Terrestrial-Impact Last Alert System (ATLAS) milik NASA.

Penyelidik menjejaki trajektori ‘bulan-mini’, dan mendapati ia akan menetap secara singkat di medan graviti Bumi sehingga 25 November.
Apabila objek angkasa menghampiri Bumi iaitu asteroid dan komet – berada dalam jarak 28 juta batu dari orbit Bumi, ia mengikuti laluan berbentuk ladam.
Orbit membawa objek ini lebih dekat ke planet bumi pada kelajuan relatif rendah, yang buat sementara waktu terperangkap di orbit Bumi seperti yang akan dialami 2024 PT5.
Penyelidikan terdahulu menunjukkan batu angkasa ini tidak menimbulkan ancaman kepada Bumi, tetapi penyelidik dinamik asteroid dari Universiti Complutense Madrid mengesyaki ia boleh menetap buat sementara waktu di medan graviti Bumi.

Para penyelidik menganalisis data mengenai saiz asteroid, kelajuan perjalanan dan trajektori anggaran laluannya dalam tempoh dua bulan selepas penemuannya pada bulan Ogos.
Kajian itu mendapati batu angkasa berkenaan akan memasuki orbit Bumi sebagai bulan mini bermula 29 September hingga 25 November, mengelilingi bumi hanya sekali dalam masa 53 hari sebelum beredar kembali ke angkasa.
Tony Dunn, ahli astronomi amatur yang mencipta simulasi orbit, memuat naik gambaran animasi laluan 2024 PT5 yang akan diambil semasa ia mengelilingi bumi. Dunn tidak terlibat dalam kajian itu.

Memerhatikan trajektori asteroid juga membolehkan penyelidik mengesannya kembali ke asal-usulnya.
Mereka membuat kesimpulan bahawa ia berkemungkinan besar berasal dari lilitan asteroid Arjuna, sekumpulan asteroid dengan orbit mengelilingi matahari yang serupa dengan Bumi.
Para penyelidik menerbitkan penemuan mereka dalam jurnal Research Notes of the American Astronomical Society.
Tetapi Paul Chodas, pengarah Pusat Kajian Objek Berdekatan Bumi di Makmal Jet Propulsion (JPL) milik NASA yang tidak terlibat dalam kajian itu, memberitahu New York Times bahawa 2024 PT5 mungkin mempunyai cerita asal-usul yang berbeza.

Pergerakan masa lampau asteroid berkenaan mencadangkan ia “mungkin serpihan ‘ejecta’ daripada impak pada bulan,” kata Chodas, bermakna bulan mini ini mungkin serpihan yang terpecah keluar dari bulan sebenar.
Asteroid 2024 PT5 bukanlah yang pertama berkeliaran di planet bumi untuk seketika. Malah, batu angkasa ini mengikuti laluan sama dengan asteroid terdahulu yang dipanggil 2022 NX1, yang menjadi bulan mini untuk tempoh singkat pada 2022.
Tetapi terdapat beberapa percanggahan pendapat mengenai sama ada asteroid ini secara teknikal dikira sebagai bulan mini sebenar. Untuk berkelayakan menerima gelaran bulan, asteroid mesti melengkapkan sekurang-kurangnya satu orbit penuh mengelilingi Bumi.
“Ia pasti tidak akan melengkapkan satu revolusi penuh dalam sistem Bumi-Bulan pada musim luruh ini, jadi saya tidak pasti boleh mengklasifikasikannya sebagai bulan mini,” kata Lance Benner, penyiasat utama program penyelidikan radar asteroid di JPL NASA , memberitahu New York Times. Benner juga tidak terlibat dalam kajian itu.
Tidak kira bagaimana anda semua mengklasifikasikan pelawat berorbit ini, asteroid seperti 2024 PT5 berfungsi sebagai peringatan akan semua lalu lintas angkasa yang mendesing melalui Bumi dan kepentingan menyelidik interaksinya dengan planet kita.