Pergerakan milisaat terakhir yang ‘menyelamatkan nyawa Donald Trump’ ditunjukkan dalam rakaman baharu percubaan pembunuhan itu.
Bekas presiden Amerika Syarikat itu sedang berucap dalam rapat umum di Butler, Pennsylvania pada Sabtu (13 Julai) apabila beberapa tembakan tiba-tiba kedengaran dan Trump menunduk di lantai pentas.

Apabila bekas presiden berusia 78 tahun itu akhirnya diiringi keluar dari pentas, telinga dan muka kanannya kelihatan berlumuran darah.
Trump kemudiannya mengesahkan di media sosial bahawa beliau telah ‘ditusuk’ oleh peluru di ‘bahagian atas telinga kanan, sambil menambah ‘Tuhan sahaja yang menghalang perkara tidak diingini daripada berlaku’.
Tetapi pergerakan pantas yang kecil itu juga didakwa menjadi perkara yang menghalang serangan tembakan cubaan bunuh daripada membawa akibat lebih maut kepada calon presiden itu.
Menurut laporan, Trump sedikit menyendengkan kepalanya semasa beliau berucap yang bermakna peluru itu mengena hinggap ke telinganya, dan bukannya sasaran ke arah belakang kepalanya.

Semasa memberi ucapan, Trump berkata beliau menoleh untuk melihat dan merujuk kepada statistik tentang topik pendatang haram di Amerika Syarikat yang dipaparkan pada skrin besar.
Trump dilaporkan memberitahu bekas doktor Rumah Putih Ronny Jackson: “Carta yang saya sedang rujuk menyelamatkan nyawa saya. ‘Peronda sempadan’ menyelamatkan nyawa saya.
“Jika saya tidak menunjuk ke arah carta itu dan menolehkan kepala saya untuk melihatnya, peluru itu akan mengenai tepat di kepala saya.”
Dan seorang peserta perhimpunan pada hari itu juga bersetuju, kerana seorang wanita bernama Vanessa memberitahu NBC News, dia percaya keadaan boleh menjadi sangat berbeza jika Trump tidak ‘menggerakkan kepalanya’ pada saat itu.

“Kami berada enam baris di belakang, terus berhadapan dengan podiumnya. Kami dapat melihat beliau dengan pandangan yang sangat baik,” katanya.
“Beliau sedang mengulas tentang cartanya dan mengalihkan kepalanya ke kanan untuk menerangkan di mana mereka berada dalam carta.
“Tetapi ketika beliau menggerakkan kepalanya untuk melihat carta di atas skrin, ketika itulah beliau memegang telinganya.”
Wanita itu mendakwa kejadian mungkin ‘lebih teruk’ jika Trump tidak menyendengkan kepalanya ‘pada saat yang tepat’.
Dan rakaman yang diperlahankan menunjukkan saat kepalanya sedikit senget, mengubah haluan peluru untuk mengena pada telinga kanannya.
Susulan insiden pada Sabtu, Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat mengesahkan lelaki bersenjata yang didakwa Thomas Matthew Crooks ‘kini sudah meninggal dunia’ selepas ‘dineutralkan’ oleh pihak berkuasa.
Dalam insiden cubaan membunuh Donald Trump itu, seorang lelaki dikenal pasti sebagai Corey Comperatore disahkan maut dalam tembakan itu dengan dua yang lain cedera parah.
Mengulas kepada New York Post, Trump berkata beliau ‘sepatutnya sudah tiada’.
Sambil menambah: “Doktor di hospital berkata tidak pernah melihat perkara seperti ini, dan memanggilnya satu keajaiban.”